
SATU kekecohan berlaku melibatkan seorang peniaga jalanan dan penguat kuasa di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menerusi video tular di media sosial sejak Jumaat, lelaki warga emas tersebut mencampak beberapa petai yang dijualnya ke atas jalan.
Tindakan itu dipercayai sebagai protes selepas dihalang berniaga oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan diarah untuk menghentikan perniagaan di parkir kenderaan.
BACA LAGI: Tambang percuma feri Pulau Pinang selama 2 hari sempena Aidilfitri
Peniaga terbabit juga menjual petainya dengan menggunakan motosikal dan dikatakan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan di lokasi itu.
Barangan perniagaannya juga dikatakan boleh dirampas dan disita sekiranya masih meneruskan jualannya.
"Nak cari sesuap nasi pun tak boleh di negara sendiri. Bukan hari-hari 24 jam saya berniaga," marahnya kepada dua penguat kuasa terlibat.
Situasi tegang itu juga dilihat berterusan dalam beberapa minit dan disaksikan juga beberapa orang awam di kawasan tersebut.
Orang awam pada masa sama cuba membantu menenangkan peniaga itu dengan mengutip dan memasukkan kembali petai yang dicampak ke dalam bakulnya.
Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa mahu pun MPDD berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram