Tidak berfaedah, ramai desak penjualan mercun diharamkan semula


  • Massa
  • Rabu, 19 Mac 2025

Dua beradik melecur selepas bermain mercun di Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah pada Selasa. — Polis

ISU keselamatan akibat mercun kembali menjadi perdebatan hangat selepas insiden menyayat hati yang menimpa dua beradik di Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah pada Selasa. 

Kedua-dua kanak-kanak itu mengalami kecederaan melecur teruk selepas mercun yang mereka mainkan meletup sehingga menyebabkan seorang daripada mereka kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Siasatan polis mendapati kanak-kanak itu memperoleh mercun jenis bola daripada rakan sekampung. 

BACA LAGI: Mak ayah tak sedar anak main mercun bola, 2 beradik melecur teruk di Kuala Nerang

BACA LAGI: Mahu elak pembaziran, peniaga bazar Ramadan Pulau Pinang derma lebihan makanan kepada golongan memerlukan

Difahamkan, ibu mereka hanya menyedari kejadian selepas terdengar letupan kuat di luar rumah, manakala bapa mereka tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

Berikutan insiden itu, ramai pengguna media sosial tampil menyuarakan gesaan supaya kerajaan mengharamkan semula penjualan mercun yang sebelum ini diberikan kelonggaran.

Seorang pengguna media sosial, SYS Smart Legacy berharap agar bunga api dan mercun kembali diharamkan. 

"Bukan budaya Islam pun. Nak tunggu sampai hilang nyawa dulu ke?," katanya.

Pengguna lain, Sephia Rezzar pula berpendapat bahawa bermain mercun adalah satu bentuk pembaziran. 

"Setuju. Beli mercun sudahlah pakai duit selepas itu hanya bakar barang yang dibeli. Buat membazir sahaja,"katanya.

Sementara itu, True Master menzahirkan kebimbangannya dengan peningkatan penjualan mercun secara terbuka. 

"Tahun ini bersepah orang jual mercun atau bunga api di tempat umum. Nampaknya semakin berani, sebab mereka sudah ada lesen. 

"Di banner pun siap tulis lagi yang penjual mercun atau bunga api itu berlesen," katanya.

Norsuhaida Rusdin turut bersetuju dengan cadangan pengharaman semula mercun. 

"Haramkan saja penjualan mercun. Tiada faedah apa satu pun. Sekarang makin ramai orang bermain secara sakan di Facebook, WhatsApp, TikTok. 

"Dulu elok-elok sudah diharamkan mercun, sekarang sibuk mahu beri lesen penjualan pula," katanya. 

Pada Februari 2023, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan bahawa penjualan mercun dihalalkan dengan alasan untuk membendung aktiviti penyeludupan. 

Namun, insiden terkini menunjukkan bahawa keputusan tersebut mungkin perlu dikaji semula demi keselamatan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram