Mak ayah tak sedar anak main mercun bola, 2 beradik melecur teruk di Kuala Nerang


  • 112
  • Rabu, 19 Mac 2025

Dua beradik melecur selepas bermain mercun di Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah pada Selasa. — Polis

MALAM yang sepatutnya dipenuhi keriangan bertukar menjadi detik ngeri bagi dua beradik lelaki apabila tubuh kecil mereka melecur teruk akibat letupan mercun di Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah pada Rabu.  

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superitendan Abdull Razak Osman berkata, kejadian berlaku ketika dua kanak-kanak itu bermain mercun di luar rumah tanpa disedari ibu bapa mereka pada pukul 8.15 malam.

Abdull Razak berkata, polis menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 1.32 pagi Rabu setelah kedua-dua mangsa dimasukkan ke Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira pukul 9.30 malam.

BACA LAGI: Mahu elak pembaziran, peniaga bazar Ramadan Pulau Pinang derma lebihan makanan kepada golongan memerlukan

BACA LAGI: Nampak seperti sakit biasa rupanya kanser, pakar pediatrik kongsi panduan kenal pasti anak-anak alami kanser

“Semasa kejadian, ibu bapa dua kanak kanak tersebut menyatakan tidak menyedari kegiatan anak mereka bermain mercun di luar rumah dan dipercayai mercun jenis bola tersebut diperoleh dari rakan sekampung.

“Temu bual ke atas ibu kanak kanak tersebut menyatakan hanya menyedari kejadian tersebut setelah terdengar bunyi letupan di luar rumah sebelum dia bergegas keluar dan mendapati kedua-dua anaknya telah cedera.

"Sementara ayah kepada dua kanak-kanak ini tiada di rumah semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Abdull Razak berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan dan seorang daripadanya yang berusia tujuh tahun dilaporkan parah, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.

Polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram