
SURUHANJAYA Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mengumumkan pemberian perkhidmatan feri percuma untuk semua rakyat Malaysia pada 29 dan 30 Mac sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, tambang percuma itu boleh digunakan untuk perjalanan di kedua-dua arah antara Terminal Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Terminal Raja Tun Uda (PRTU).
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya dan PPSB untuk memudahkan perjalanan rakyat Malaysia terutama pada musim perayaan.
"Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang tetapi untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih mampan dan cekap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan awal dan merujuk kepada jadual feri terkini melalui suruhanjaya itu serta laman sesawang rasmi PPSB serta saluran media sosial.
Yeoh berkata, statistik menunjukkan lebih 27,801 penumpang pejalan kaki dan 5,740 kenderaan dua roda menggunakan perkhidmatan feri di kedua-dua arah semasa Aidilfitri pada 2024 serta membuktikan feri itu kekal sebagai pengangkutan pilihan rakyat Malaysia.
Secara keseluruhan, beliau berkata, lebih 2.1 juta pejalan kaki menggunakan perkhidmatan feri antara Januari dan Disember 2024, manakala 747,785 kenderaan roda dua direkodkan dalam tempoh sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram