
TINDAKAN pantas dan penuh dedikasi sekumpulan anggota polis membantu mangsa banjir di Jalan Senai-Seelong, dekat Kulai, Johor, mendapat pujian ramai pada Khamis.
Manakan tidak, ketika orang lain berusaha meninggalkan kawasan yang dinaiki air, mereka tetap dilihat komited membantu mangsa yang menghadapi kesulitan.
Dalam kejadian tersebut, tiga anggota polis dilihat gigih menolak sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang terkandas akibat banjir ke kawasan lebih selamat.
Difahamkan, kenderaan tersebut mengalami kerosakan apabila enjin secara tiba-tiba mati selepas pemandunya cuba meredah banjir.
Melalui satu hantaran Facebook, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, pada waktu kejadian, ketiga- tiga anggota polis trafik berkenaan sedang menjalankan pemantauan di kawasan terbabit.
Tindakan pantas dan penuh dedikasi sekumpulan anggota polis membantu mangsa banjir di Jalan Senai-Seelong, dekat Kulai, Johor, mendapat pujian ramai pada Khamis. pic.twitter.com/GuPmNPklH4
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) March 20, 2025
Selain itu, mereka turut membantu dua lagi kenderaan awam yang tersangkut akibat banjir kilat.
Hujan lebat yang berterusan menyebabkan limpahan air melimpah ke jalan utama, menjejaskan aliran trafik.
Tindakan anggota polis ini bukan sahaja mencerminkan sikap profesionalisme pasukan keselamatan negara, malah menunjukkan keprihatinan mereka dalam membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya dalam situasi kecemasan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna warga maya memuji tindakan sekumpulan anggota polis tersebut.
"Tahniah PDRM, membantu orang yang kesusahan di bulan yang mulia ini. Semoga dijadikan pengajaran buat semua juga.
"Jangan redah air banjir kecuali kalau kereta anda macam bot boleh terapung," tulis Khairina Ismail.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Nur Aisyah, turut berkongsi pandangannya.
"Terharu melihat anggota polis yang masih bertugas di tengah banjir demi keselamatan rakyat. Semoga mereka sentiasa diberi perlindungan dan kesihatan yang baik.
'Terima kasih PDRM, semoga dipertemukan lailatul qadar kamu semua," katanya.
Terdahulu, media melaporkan banjir di negeri Johor bertambah buruk apabila mencatatkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,048 orang daripada 308 keluarga setakat pukul 12 tengah hari Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 893 mangsa daripada 257 keluarga, pukul 8 pagi Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram