
SELEPAS kembali membedil bumi Gaza, Israel terus memberikan amaran yang mereka akan terus melakukan serangan sesudah gencatan senjata fasa pertama berakhir.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya akan terus menyerang Gaza selepas serangan terkini membunuh 400 warga Palestin pada Selasa.
Kata pemimpin rejim Zionis itu, segala usaha untuk perjanjian damai akan dijalankan sambil pihaknya meneruskan serangan.
BACA LAGI: [VIDEO] Misi hantar manusia ke Marikh bermula hujung 2026
Keadaan Gaza semasa kembali diserang Israel.
Kedua-dua pihak dilihat saling menyalahkan sesama sendiri terhadap proses damai yang tergendala hingga berlaku semula serangan.
Pejuang Palestin, Hamas menyalahkan Israel kerana tidak mahu memasuki ke fasa kedua gencatan senjata. Sementara Israel menyerang semula Gaza kerana tidak mahu melanjutkan tempoh fasa pertama gencatan senjata.
“Mulai sekarang, Israel akan menentang Hamas dengan lebih hebat. Dan mulai sekarang, segala perbincangan akan diadakan semasa pertempuran.
“Hamas sudah rasakan serangan kami dalam tempoh 24 jam terakhir. Dan saya boleh beri jaminan, ini adalah permulaan,” katanya.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, jumlah kematian sebanyak 408 orang itu adalah jumlah tertinggi dicatatkan dalam tempoh sehari sejak konflik bermula.
Sementara ‘orang tengah’ kepada perjanjian damai iaitu Mesir dan Qatar mengecam serangan tersebut, Amerika Syarikat (AS) terus mempertahankan tindakan sekutunya itu.
Bagi AS, tindakan serangan Israel itu berpunca daripada kedegilan Hamas untuk melanjutkan fasa pertama gencatan senjata. Malah, AS menyokong segala tindakan Israel terhadap Hamas selepas ini.
“Hamas sepatutnya boleh melepaskan semua tebusan untuk meneruskan gencatan senjata, tapi memilih untuk menolak dan meneruskan perang,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih, Brian Hughes. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram