
SAKSI pendakwaan kes kematian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin mendedahkan rekod kesihatan mangsa.
Memetik laporan Buletin TV3, Zayn Rayyan didiagnosis mengalami receptive and expressive language delay tahap teruk berdasarkan rekod klinikal terapi pertuturan.
Saksi pendakwaan ke-23, Dr. Nur Hanisah Abd Nasir, 37, dari Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL), Hospital Sungai Buloh berkata, Zayn Rayyan juga tidak berminat dan tidak dapat mengikuti arahan yang diberikan oleh juruterapi pertuturan.
Katanya, pada 29 Oktober 2019, Zayn Rayyan dibawa ke Klinik ORL untuk menjalani ujian pendengaran.
BACA LAGI: Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring
Hasil ujian ‘play audiometry’ dan Visual Reinforcement Audiometry (VRA) yang dilakukan bagaimanapun tidak lengkap kerana kanak-kanak itu tidak memberi respons kepada arahan yang diberikan.
Susulan itu, temujanji baharu dijadualkan, tetapi tiada rekod lanjut mengenai ujian tersebut.
Katanya lagi, laporan perubatan juga menunjukkan bahawa Zayn Rayyan mengalami kelewatan pertuturan yang ketara dengan tahap bahasa lebih kurang dua tahun jauh daripada usianya sebenar.
Sebelum ini, polis mengesahkan pihaknya merakam keterangan ibu Zayn Rayyan berhubung satu video terkini yang tular di media sosial.
Video kurang seminit itu memaparkan Ismanira Abdul Manaf berjalan sambil memegang tangan dua anaknya termasuk Zayn Rayyan di kawasan parkir motosikal Blok R Apartment Idaman Damansara Damai dekat Petaling Jaya, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram