[VIDEO] Bukan saja-saja nak gigit, peniaga tular serang anggota penguat kuasa DBKL dakwa kena tendang, dikasari pegawai sebelum kejadian


  • Tular
  • Rabu, 12 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan kejadian penguat kuasa DBKL diserang penjaja bazar Ramadan pada Khamis.

WANITA yang tular kerana enggan bekerjasama dan menggigit penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Benteng, Kuala Lumpur pada Rabu minggu lalu tampil menjelaskan dia tidak sengaja bertindak sedemikian dan berada dalam keadaan emosi. 

Melalui satu temubual di laman aplikasi TikTok Aizat Ashraf | Info Rakyat yang dimuat naik pada Selasa, wanita yang hanya dikenali sebagai Wawa turut memohon maaf kepada pihak berkuasa atas tindakannya.

Katanya, pada waktu kejadian, dia dia berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil dan hilang kesabaran. 

BACA LAGI : Senasib syiling, not kertas RM1 dianggap tiada nilai jadi duit raya, generasi muda lebih suka terima 'e-Wallet'

BACA LAGI : [VIDEO] Tak puas hati kena tindakan, penguat kuasa DBKL digigit penjaja bazar Ramadan tanpa lesen

"Pada hari kejadian, saya meminta budi bicara untuk tidak menyita dan memberi masa untuk mengalihkan kenderaannya kerana kunci dipegang oleh suaminya yang tiada di lokasi tersebut. 

"Saya merayu kepada mereka untuk tidak menyita kenderaan saya. 

"Ada anggota penguat kuasa yang menendang dan menampar saya, tetapi saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Kalau boleh kita nak selesaikan dengan cara baik dan berdamai," dakwanya dalam video berkenaan. 

Dalam video berkenaan juga, Wawa turut mempertikaikan etika anggota DBKL yang bertugas pada ketika itu. 

"Di mana etika kerja mereka? Saya pun sedar yang kesalahan saya adalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Tetapi, mereka tidak boleh melakukan kekerasan terhadap saya," katanya. 

Dia turut mendedahkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut tetapi tidak menyatakan tindakan lanjut yang bakal diambil.

Terdahulu, pada Isnin, media melaporkan Wawa dihukum denda RM3,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata wanita tempatan berusia 30 tahun itu dituduh di mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu.

"Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan dia mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh mahkamah," katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Dalam pada itu, Majoriti sedang mendapatkan maklum balas daripada DBKL berhubung dakwaan peniaga wanita terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram