
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membuat keputusan untuk tidak menggantung lesen pengendali stesen radio ERA FM, Maestra Broadcast Sdn. Bhd.
Ia susulan MCMC menerima rayuan daripada operator stesen radio tersebut berhubung notis niat pergantungan lesen yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit pada 7 Mac lalu.
"Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga sudah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen.
"Ia termasuk permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan pergantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: Terima 73 laporan polis, kes penyampai radio ERA persenda upacara agama dirujuk Peguam Negara
BACA LAGI: Tiga penyampai ERA direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil arah MCMC buat siasatan penuh
MCMC bagaimanapun berkata, Maestra Broadcast Sdn. Bhd dikompaun sebanyak RM250,000 di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Kompaun itu juga dikenakan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok ERA FM.
"Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara.
"MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara," jelasnya.
Sebelum ini, sebanyak 73 laporan diterima pihak polis berhubung video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio ERA FM iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy.
Polis juga sudah merakam keterangan tiga penyampai berkenaan termasuk tiga lagi petugas radio terbabit.
Namun, belum ada sebarang keputusan atau tindakan susulan dikenakan terhadap kesemua individu terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram