'Cklamovski tak akan beri jalan mudah buat pemain kebangsaan'


  • Podium
  • Sabtu, 08 Mac 2025

Cklamovski masih belum membuat sebarang pengumuman tentang senarai akhir skuad kebangsaan.

BERBAKI kira-kira tiga minggu aksi pertama pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, skuad Harimau Malaya tampak masih 'misteri' terutamanya membabitkan perkembangan pemain baharu yang bakal memperkuat skuad kebangsaan.

Sehingga ke hari ini, masih tiada lagi sebarang kemas kini mengenai status pemain berdarah kacukan baharu yang sebelum ini dikatakan sedang dalam proses untuk 'di Malaysiakan' sekali gus berpotensi diturunkan untuk aksi menentang Nepal, 25 Mac ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai kesediaan pemain baharu ini untuk menyesuaikan diri dan mencipta persefahaman dalam skuad kebangsaan terutamanya dengan masa singkat yang ada sebelum aksi terbabit.

BACA LAGI: ‘Tiga point milik kami’, Saddil Ramdani berang kemenangan The Rhinos ‘dinafikan’ Zuhadi Dzulkifli

BACA LAGI: [VIDEO] Senasib Nafuzi Zain, gugur air mata jantan Victor Andrag lepas tersungkur di Darul Aman

Ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut, pemerhati sukan, Afiq Rowley berpendapat pemain akan mengalami kesukaran di kem pertama Harimau Malaya bersama Peter Cklamovski.

"Secara peribadi, saya rasa pemain akan mengalami kesukaran dan jurulatih itu sendiri mungkin sedikit struggle sebab beliau tidak mengenali secara keseluruhan para pemain kebangsaan dan keupayaan mereka.

"Lewat dalam sesi latihan, pastinya ada beberapa kesilapan atau kelemahan akan berlaku. Tetapi, lawan kita hanya Nepal. Saya rasa itu bukan kesukaran sangat buat Malaysia.

"Ini detik pertama buat Cklamovski untuk memperkenalkan taktikal permainan serta mengenali barisan pemain sedia ada untuk mewujudkan chemistry.

"Tapi pandangan saya, mungkin tak banyak perubahan beliau buat memandangkan ini detik pertama kali beliau melatih Harimau Malaya. Maksud saya, mungkin untuk menilai terlebih dahulu," katanya kepada Majoriti.

Cklamovski sudahpun memulakan tugas bersama Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, Nepal yang sudah memulakan kem latihan pusat pasti akan memberikan kelebihan kepada mereka namun tetap percaya Malaysia akan meraih kemenangan dalam aksi itu.

"Pastinya memberi kelebihan sedikit kerana mereka 'panas' lebih awal dan persefahaman sudah pun terjalin selain sisi kelemahan semasa sudah dikesan jurulatih mereka sebelum menentang Malaysia.

"Tetapi seperti apa saya katakan, Malaysia tetap akan mengungguli dari segi keputusan menerusi pengalaman dan kualiti pemain.

"Jangkaan saya, Malaysia raih kemenangan 2-0 dan pemain saya paling ingin lihat dipanggil kali ini terarah kepada Danial Amier.

"Ini merupakan musim terbaik beliau dan peluang wajar diberikan kepadanya," jelasnya.

Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Nepal, Vietnam dan Laos namun hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke Piala Asia 2027 menyertai 18 pasukan yang sudah layak daripada pusingan kedua sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram