6 pemimpin wanita pemegang tampuk pemerintahan tertinggi di Asia


Mereka membuktikan bahawa wanita mampu menggalas tanggungjawab besar dan membawa perubahan dalam masyarakat.

WANITA memainkan peranan penting dalam membentuk landskap politik di Asia sekali gus membuktikan bahawa mereka mampu memimpin dengan keberanian, kecekalan dan kebijaksanaan.

Sepanjang sejarah, ramai wanita telah bangkit sebagai pemimpin negara, menghadapi cabaran besar dan membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat mereka.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, kita mengimbas kembali perjalanan enam pemimpin wanita berpengaruh di Asia yang telah membawa perubahan besar dalam landskap politik dan sosial negara masing-masing.

BACA LAGI: Misi Uzma teroka perniagaan angkasa lepas, pelancaran satelit hanya permulaan

BACA LAGI: Katy Perry antara 6 kru wanita bakal sertai misi ke angkasa lepas menaiki roket Blue Origin

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

1. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Timbalan Perdana Menteri Malaysia 2018-2020)

Dilahirkan pada 3 Disember 1952, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2018 sehingga 2020.

Dilantik pada10 Mei 2018, selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, beliau juga memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebagai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memainkan peranan penting dalam gerakan reformasi politik Malaysia.

Ketika Anwar dipenjara pada tahun 1999 akibat pertuduhan kontroversi, beliau mengambil alih kepimpinan parti dan meneruskan perjuangan politiknya sambil membesarkan lima orang anak mereka.

Selain itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut dikenali sebagai pejuang hak asasi manusia dan wanita kerana kecekalannya memperjuangkan kebajikan rakyat dalam bidang kesihatan dan pendidikan.

Corazon Aquino. — Agensi

2. Corazon Aquino (Presiden Filipina, 1986-1992)

Corazon Aquino atau nama sebenar, Maria Corazon Sumulong Cojuangco dilahirkan pada 25 Januari 1933 di wilayah Tarlac.

Beliau merupakan wanita pertama yang memegang jawatan Presiden Filipina selepas Revolusi Kuasa Rakyat yang menumbangkan pemerintahan diktator, Ferdinand Marcos.

Walaupun kehilangan suaminya, Benigno Aquino Jr yang merupakan tokoh pembangkang dan dibunuh secara tragis, beliau tetap berjuang untuk membentuk semula sistem pemerintahan yang lebih demokratik.

Wanita yang mesra disapa sebagai Cory itu dikenali sebagai simbol demokrasi dan ketabahan, berjaya memulihkan sistem pemerintahan negara dan memperkukuh kebebasan rakyat Filipina.

Walaupun telah meninggal dunia pada 1 Ogos 2009 Ketika berusia 76 tahun, namun, kepimpinannya terus dikenang sebagai pencetus perubahan politik di Asia.

Aung San Suu Kyi. — Agensi

3. Aung San Suu Kyi (Penasihat Negara Myanmar, 2016-2021)

Dilahirkan pada 19 Jun 1945, Aung San Suu Kyi adalah penerima Hadiah Nobel Keamanan 1991 atas perjuangannya dalam demokrasi dan hak asasi manusia di Myanmar.

Beliau juga terkenal dengan keberaniannya menentang pemerintahan junta tentera yang telah menguasai Myanmar hampir lima dekad sejak 1962 sehingga 2011.

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran politik, ibu kepada dua orang anak itu berjaya menjadi pemimpin tertinggi negara sebagai Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri Myanmar.

Kepimpinannya telah membawa reformasi dalam pemerintahan negara dan menarik perhatian dunia terhadap situasi di Myanmar.

Megawati Sukarnoputri. — Tatler Asia

4. Megawati Sukarnoputri (Presiden Indonesia, 2001-2004)

Sebagai Presiden Indonesia wanita pertama, Megawati Sukarnoputri memainkan peranan penting dalam memulihkan kestabilan ekonomi dan politik negara selepas krisis kewangan Asia 1997-1998.

Anak kepada Presiden pertama Indonesia, Sukarno, beliau dikenali sebagai pemimpin yang memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan rakyat Indonesia.

Selain itu, Megawati turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau serta memperjuangkan hak wanita dalam politik Indonesia.

Beliau mengetuai Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang terus menjadi salah satu parti politik paling berpengaruh di negara itu.

Kepimpinannya juga dikenang kerana usahanya dalam menstabilkan ekonomi negara serta menangani pelbagai cabaran politik pasca-reformasi

Halimah Yacob. — Tatler Asia

5. Halimah Yacob (Presiden Singapura, 2017-2023)

Mula menyertai dunia politik pada tahun 2001 dengan dorongan oleh Perdana Menteri ketika itu, Goh Chok Tong, Halimah Yacob merupakan wanita pertama yang menjadi Presiden Singapura.

Bekas Speaker Parlimen tersebut memenangi empat pilihan raya parlimen sebelum akhirnya dilantik sebagai presiden pada 2017.

Selain peranan politik, beliau juga terlibat dalam pelbagai inisiatif yang memperjuangkan hak pekerja dan wanita di Singapura.

Yingluck Shinawatra. — Agensi

6. Yingluck Shinawatra (Perdana Menteri Thailand, 2011-2014)

Yingluck Shinawatra merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand, berkhidmat dari 2011 hingga 2014.

Beliau merupakan adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan memainkan peranan penting dalam kesinambungan pengaruh keluarga Shinawatra dalam politik Thailand.

Sebelum menceburi dunia politik, Yingluck mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan dan memegang jawatan penting dalam syarikat keluarganya, termasuk SC Asset Corporation.

Sebagai pemimpin Parti Pheu Thai, beliau memenangi pilihan raya umum 2011 dan berusaha melaksanakan pelbagai dasar ekonomi yang menyokong golongan luar bandar.

Namun, pemerintahannya berakhir apabila beliau digulingkan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 2014. Walaupun menghadapi cabaran politik, Yingluck tetap menjadi figura penting dalam sejarah politik Thailand

Keenam-enam wanita ini bukan sahaja menjadi pemimpin dalam politik negara masing-masing, tetapi juga membuktikan bahawa wanita mampu menggalas tanggungjawab besar dan membawa perubahan dalam masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram