Selamatkan kanak-kanak, haramkan jual gula-gula bentuk vape dan picagari di pasaran — CAP


  • Massa
  • Sabtu, 08 Mac 2025

Antara gula-gula berbentuk rokok elektronik yang kini dijual dipasaran. — Gambar hiasan/Facebook

PENJUALAN gula-gula berbentuk rokok elektrik atau vape dan jarum suntikan digesa untuk dihentikan di pasaran tempatan.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V Subbarow berkata, ia susulan kebimbangan terhadap normalisasi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, trend itu dilihat semakin membimbangkan kerana produk berkenaan direka dengan warna-warna yang menarik perhatian kanak-kanak.

BACA LAGI: AirAsia, Thai Airways larang penumpang caj, guna ‘powerbank’ berkuat kuasa 15 Mac

BACA LAGI: [VIDEO] Hajat berbuka di masjid tak kesampaian, bapa maut, anak kritikal dirempuh kereta

Katanya, corak dan reka bentuk gula-gula itu juga boleh mendorong kanak-kanak meniru tabiat merokok apabila dewasa.

"Lebih membimbangkan, ada yang direka seperti jarum suntikan, menyerupai picagari yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

"Gula-gula ini bukan sekadar manisan biasa, tetapi boleh menjadi titik permulaan kepada ketagihan vape dan rokok.

"Ibu bapa mungkin tidak menyedari risiko ini dan membelinya untuk menenangkan anak-anak mereka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. 

Menurutnya, fenomena tersebut bukan sahaja membahayakan kesihatan, malah boleh membentuk tabiat mengendalikan peranti menyerupai rokok elektronik sejak usia seawal tujuh tahun.

Pihaknya juga menyuarakan kebimbangan sekiranya produk itu terus dipasarkan tanpa kawalan.

"Jika dibiarkan, kanak-kanak yang membesar dengan gula-gula berbentuk vape ini mungkin akan beralih kepada produk sebenar seperti e-rokok dan rokok konvensional.

"Kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengharamkan penjualan produk ini demi kesihatan generasi akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram