
PLATFORM yang memfokuskan pada pembelian dan penjualan motosikal terpakai, iMotorbike semakin berkembang pesat sejak penubuhannya pada 2016.
Berkongsi kepada Majoriti, Pengasas bersama iMotorbike, Sharmeen Looi Mee Leng berkata, iMotorbike pada awalnya beroperasi sebagai laman web motosikal yang menumpukan pada model perniagaan motosikal baharu.
Namun pada 2021, syarikat tersebut melaksanakan perubahan besar dengan menumpukan perhatian pada penjualan motosikal terpakai.
BACA LAGI: [VIDEO] Puteri sulung jadi wajah kempen raya, Marion tak paksa anak ikut jejak langkah
Sharmeen (kanan) dan Gil kini menumpukan perhatian pada penjualan motosikal terpakai.
Menurut Sharmeen, langkah itu diambil selepas beliau dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif iMotorbike, Gil Carmo mengenal pasti masalah utama dalam proses pembelian dan penjualan motosikal terpakai.
Mereka mendapati pelanggan sering berdepan dengan isu seperti kurangnya ketelusan, tahap keselamatan yang rendah dan proses transaksi yang rumit serta tidak mesra pengguna.
"Platform ini juga bertujuan menawarkan pengalaman selamat dan pantas merangkumi pemeriksaan kenderaan, penghantaran ke seluruh negara, jaminan wang dikembalikan dan perkhidmatan seperti insurans, cukai jalan, jaminan lanjutan serta pembiayaan.
"Kami ingin memastikan bahawa pelanggan dapat membeli motosikal dengan penuh keyakinan penuh," kata usahawan wanita berusia 34 tahun itu.
iMotorbike semakin memperkukuh jenamanya dalam industri motosikal terpakai di Malaysia.
Selesai masalah pelanggan
Tidak hanya semata-mata tentang keuntungan, mengusahakan perniagaan motor terpakai bagi Sharmeen, membawa beliau menelusuri pelbagai sisi kehidupan manusia.
Ujar bekas ratu cantik itu, motosikal bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi juga menjadi penyelesaian penting dalam kehidupan seharian ramai individu.
"Kami bertemu dengan pelanggan yang datang kepada kami dengan pelbagai kisah hidup. Ada yang memerlukan motosikal untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan ke masjid.
"Apabila sedar bahawa kami dapat membantu mereka dengan menyediakan pengangkutan yang selamat, ia memberi kami kepuasan dan pencapaian diri yang tidak ternilai," kongsinya.
Beliau dalam pada itu sempat menceritakan satu pengalaman menyentuh hati, yang mana seorang wanita datang membeli motosikal untuk memulakan perniagaan menjual aiskrim demi menyara keluarganya.
iMotorbike menawarkan pelbagai jenis motosikal daripada model kecil hingga model berharga tinggi.
Bagi anak bongsu daripada empat beradik itu, ia bukan hanya mengenai menjual motosikal, tetapi tentang menyelesaikan masalah pelanggan dan merealisasikan keperluan mereka.
"Kami membantu dengan memberikan motosikal yang sesuai dan saya rasa sangat berterima kasih kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya," bicara Sharmeen.
Ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada Universiti Antarabangsa INTI itu, bagi memastikan pengalaman terbaik kepada pelanggan, iMotorbike menawarkan pelbagai jenis motosikal daripada model kecil hingga model berharga tinggi.
Setiap motosikal yang ditawarkan jelasnya, akan melalui pemeriksaan ketat selain penyediaan waranti selama enam bulan serta jaminan enam hari pulangan untuk setiap pembelian, tanpa mengira harga.
'Teritori lelaki'
Kini Sharmeen menerajui iMotorbike sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO), memperkukuh kedudukannya dalam industri motosikal terpakai di Malaysia.
Menyentuh mengenai perjalanan keusahawanannya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu mula menceburi dunia perniagaan sebagai pengasas bersama di ShopBack Malaysia, pada usia 25 tahun.
ShopBack merupakan platform pulangan wang tunai (cashback) daripada hasil perbelanjaan.
Selepas lima tahun mengendalikan syarikat tersebut, beliau mengorak langkah menyertai Gil yang juga bekas Ketua Pengurus Cashback Malaysia, untuk menerajui iMotorbike pada 2020.
Dilahirkan daripada ibu berbangsa India dan bapa berbangsa Cina, wanita yang tidak lokek dengan senyuman itu membuktikan bahawa latar belakang kepelbagaian kaum memberikannya kelebihan dalam mendepani cabaran baharu.
Sharmeen (duduk, tengah) mula menceburi dunia perniagaan sebagai pengasas bersama di ShopBack Malaysia.
Kongsinya lagi, perjalanan awal dalam bidang pemasaran dan komunikasi di sebuah syarikat multinasional (MNC) memberinya pendedahan tentang struktur korporat, namun ketika itu jiwanya mahukan sesuatu yang dibina bermula dari bawah.
"Ia tidak hanya tentang memperoleh ganjaran kewangan tetapi juga saya mahukan kepuasan apabila membina sesuatu bermakna untuk diri ini," ujarnya yang pernah mengehoskan rancangan berbahasa Melayu, Podium di stesen penyiaran awam milik kerajaan, secara separuh masa.
Menceburi industri yang didominasi lelaki bukanlah satu cabaran besar bagi Sharmeen.
Malah keputusan tersebut berakar daripada keinginan untuk membuktikan wanita juga mampu memainkan peranan penting dalam sektor dianggap sebagai 'teritori lelaki' itu.
"Saya mahu wanita di luar sana percaya jika saya boleh melakukannya, mereka juga boleh," tegasnya menambah penglibatan itu juga didorong oleh visi dikongsi bersama rakan untuk memulakan perjalanan baharu dalam dunia keusahawanan.
Sharmeen pernah mengehoskan rancangan Podium di stesen penyiaran awam secara separuh masa.
Kepimpinan
Bercerita soal gaya kepimpinan, Sharmeen mengutamakan pemerkasaan dengan memberi kebebasan buat pekerja untuk membuat keputusan yang berinformasi dan profesional, berbanding mengenakan arahan yang ketat.
Beliau berhasrat menghakis persepsi negatif terhadap corak kepimpinan wanita dalam organisasi.
"Saya tidak percaya bahawa kepimpinan perlu ditentukan oleh jantina. Pemimpin adalah pemimpin dan gaya pengurusan bergantung pada pilihan individu.
"Seiring pengalaman yang diperoleh, saya berjaya mengatasi batasan ini dan kini saya mempunyai keyakinan penuh dalam membuat keputusan," jelasnya.
Beliau memaklumkan, syarikatnya baru-baru ini berjaya mencapai pelanggan ke-10,000 dan memperoleh jumlah pendapatan mencecah AS$10 juta (RM44.62 juta).
iMotorbike membuka bilik pameran tiga tingkat, seluas 4,281 meter persegi di Glenmarie, Shah Alam, Selangor yang menempatkan hingga 1,500 motosikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram