Lebih 50,000 usahawan wanita dalam talian gagal capai jualan, kerajaan tawar inisiatif perkasa ekonomi digital


  • Primer
  • Khamis, 06 Mac 2025

Pelancaran EmpowerHER Digital 2025 mencerminkan komitmen kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasakan wanita dalam ekosistem digital. — Gambar hiasan

DATA Belanjawan 2021 menunjukkan perbezaan begitu ketara antara jumlah peniaga lelaki dan wanita mempromosikan jualan mereka di platform e-dagang.

Berdasarkan data tersebut, peniaga dalam talian lelaki mencatatkan jumlah 654,530 berbanding hanya 280,100 peniaga wanita yang direkodkan pada tahun berkenaan.

Perkembangan tersebut menunjukkan keperluan inisiatif yang dapat menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam sektor e-dagang.

BACA LAGI: Tinggalkan dunia korporat di AS, Suri komited perkasa wanita dan industri fesyen sederhana di Malaysia

BACA LAGI: Adzliana enggan 'goyang kaki' kerana bisnes bapa, sentiasa bermurah hati kongsi ilmu perniagaan dengan usahawan wanita

Justeru, Kementerian Digital yang dipacu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan SMECorp Malaysia melancarkan Program EmpowerHER Digital bagi memperkasa wanita B40 dengan kemahiran digital serta akses pasaran untuk menjana pendapatan dan membina perniagaan mampan dalam ekonomi digital.

Menteri Digital, Gobind Deo Singh berkata, sebagai sebahagian usaha merapatkan jurang digital, program itu menawarkan bengkel interaktif, sesi perkongsian industri dan pameran mini yang memberi peluangkepada peserta mempelajari strategi perniagaan digital, penjenamaan atas talian serta pembiayaan dan akses pasaran.

Belia turut menegaskan kepentingan memperluas program tersebut ke lebih banyak negeri supaya lebih ramai wanita termasuk di luar bandar, dapat menikmati manfaat ekonomi digital.

Gobind menegaskan kepentingan memperluas program tersebut ke banyak negeri supaya lebih ramai wanita termasuk di luar bandar menikmati manfaat ekonomi digital.

“Transformasi digital mesti bersifat inklusif dan membuka peluang kepada semua, terutama kumpulan B40.

"Inisiatif seperti EmpowerHER Digital memainkan peranan penting dalam memastikan wanita Malaysia bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu bersaing dalam ekonomi digital yang pesat berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, hampir 220,000 usahawan wanita telah menceburi e-dagang melalui pelbagai platform namun hanya 12.63 peratus menerima latihan selepas penyertaan awal.

Ujar beliau, data juga menunjukkan hampir 57,000 wanita peniaga dalam talian tidak berjaya mencapai sebarang jualan manakala sebahagian besar hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000.

“Ini bermakna masih terdapat halangan dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi digital dan inilah peranan kita untuk membantu mereka maju ke hadapan.

“Saya yakin apabila lebih ramai wanita diberi peluang dalam ekonomi digital, kesannya tidak hanya kepada individu tetapi juga menyumbang pada pembangunan komuniti dan memberi impak positif kepada ekonomi negara," tambahnya.

Antara rakan industri utama yang terlibat termasuk Shopee, TikTok, CGC Digital dan Pixlr.

Dari kiri: Ketua Pegawai Strategi DNB, Datuk Ahmad Zaki Zahid; Anuar Fariz; Gobind; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, EmpowerHER Digital bukan sekadar latihan, tetapi satu gerakan untuk membina ekosistem sokongan yangmampan.

"Program ini membekalkan wanita B40 dengan kemahiran digital, akses pasaran dan bimbingan mentor agar mereka dapat membina perniagaan yang berdaya saing.

"Sebagai pemudah cara ekonomi digital negara, MDEC memastikan wanita bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga penggerak inovasi dalam ekonomi digital," jelasnya.

Selain latihan praktikal, program berkenaan turut menampilkan sesi sembang santai bersama Pengasas Hers Manufacturing, Amutha Subramaniam; Pengasas bersama Craftiviti, Wei Yein dan Pengasas Rayhanah Malaysia, Nur Adila Manshor, yang berkongsi pengalaman membina perniagaan digital serta bagaimana teknologi membantu meningkatkan daya saing mereka.

Pelancaran EmpowerHER Digital 2025 mencerminkan komitmen kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasakan wanita dalam ekosistem digital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram