
KERAJAAN komited dalam memastikan beras putih tempatan (BPT) tidak 'hilang' daripada pasaran apabila menggabungkan tenaga manusia dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penguatkuasaan.
Menerusi Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA), seramai 1,200 anggota akan dikerahkan bagi memastikan BPT tidak 'hilang' dari pasaran.
Ia termasuk mewujudkan tag untuk penjejakan dan pengesanan sekiranya berlaku manipulasi serta menggerakkan bilik pemantauan 24 jam.
BACA LAGI: 24,000 tan beras putih tempatan 10kg dijual RM26 bermula 1 Mac
BACA LAGI: 50 peratus beras tempatan dicampur dalam beras import — MARDI
Datuk Badrul Hisham Mohd
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, dia yakin gabungan itu dapat membantu bantuan secara bersasar sampai ke pihak yang sepatutnya dengan tepat.
"Kami yakin dengan kapasiti itu ditambah dengan sistem AI yang digunakan untuk membuat pengesanan dan penjejakan, maka kami yakin subsidi ini akan menitik terus kepada kumpulan sasaran.
"Sekiranya terdapat aduan manipulasi, peruncit berlesen yang akan diambil tindakan kerana gagal patuh kepada tatacara penjualan," katanya.
Usaha tersebut turut melibatkan program berstruktur dengan insentif sebanyak RM150 juta bagi tempoh enam bulan pertama.
Bermula 1 Mac, harga BPT seberat 10 kilogram akan dijual pada harga RM26 dengan 24 juta kampit akan dipasarkan secara berperingkat.
Kerajaan mengehadkan pembelian BPT kepada dua pek setiap pembelian dengan sasaran 400,000 ketua isi rumah dan 77,000 ketua isi rumah miskin tegar bakal menerima manfaat.
BPT akan disalurkan kepada 36,000 peruncit berlesen di seluruh negara selain ketika penganjuran Jualan Agro MADANI serta Jualan Rahmah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram