
MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) akan meningkatkan usaha memantau bazar Ramadan di bawah kawalannya untuk memastikan tiada penjualan semula permit perniagaan kepada pihak ketiga.
Presiden MPS, Shahman Jalaludin memberitahu StarMetro yang pihaknya akan menempatkan lebih ramai kakitangan untuk memantau bazar di kawasan Selangor sepanjang Ramadan.
Dia juga berkata, peniaga yang diberikan permit dipilih selepas dinilai menerusi pelbagai kriteria.
BACA LAGI: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tampil berbaju ungu, umat Islam di Malaysia mula puasa pada Ahad
BACA LAGI: Tak nampak anak bulan, Brunei mula berpuasa pada Ahad
Shahman Jalaludin
“Ini termasuk pemohon mestilah warganegara Malaysia dan telah menerima suntikan vaksin tifoid (pengendalian makanan).
“Peniaga juga mesti menghadiri sesi taklimat bazar Ramadan yang dianjurkan oleh pihak majlis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPS.
Shahman berkata, sesi taklimat tersebut diadakan pada 19 Februari di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak.
Peniaga diberikan taklimat mengenai kebersihan, keselamatan makanan, penguatkuasaan peraturan dan pengurusan sisa pepejal.
Shahman berharap taklimat tersebut dapat membantu peniaga memahami garis panduan yang ditetapkan oleh MPS untuk memastikan ketertiban, kebersihan dan keselamatan di bazar Ramadan.
Tahun ini, MPS menyediakan 1,970 lot di 31 lokasi untuk peniaga bazar Ramadan.
Sebelum ini, terdapat laporan beberapa lot bazar Ramadan di Kuala Lumpur dijual semula untuk mendapat keuntungan besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran lesen bazar Ramadan yang didapati dijual semula akan dibatalkan serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi turut mengingatkan peniaga berlesen untuk mematuhi peraturan dan tidak memindahkan permit mereka kepada pihak ketiga, kerana ia boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Dalam perkara berasingan, Shahman berkata, tempoh cukai taksiran pertama tahun ini berakhir hari ini, dan caj lewat sebanyak RM20 akan dikenakan kepada mereka yang gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan.
“Caj ini akan dikenakan dari 1 Mac hingga 31 Mac.
“Waran penyitaan akan dikeluarkan kepada mereka yang masih gagal membayar mulai 1 April,” katanya.
Dia turut menambah yang sehingga 31 Januari, MPS sudah mengutip RM20.79 juta dalam cukai taksiran.
Jumlah ini adalah kira-kira 31.03% daripada jumlah keseluruhan yang dijangka sebanyak RM67 juta.
Bagi tunggakan, Shahman berkata sebanyak RM1.45 juta atau kira-kira 15.3% daripada keseluruhan RM9.5 juta telah berjaya dikutip setakat ini. — The Star/LEW GUAN XI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram