
PERSOALAN ini penetus sesi perbincangan tentang buku How Malaysia Missed 7 Chances At Nation Building, ditulis oleh bekas pegawai bank Datuk Mohammed Hussein.
Sesi perbincangan itu yang dikendalikan oleh Premesh Chandran selain dihadiri aktivis politik, Liyana Marzuki, merungkai detik-detik penting dalam sejarah Malaysia dan bagaimana keputusan berbeza boleh membentuk hala tuju negara ini.
Mohammed yang puluhan tahun terlibat dalam sektor kewangan, berkata, Malaysia sering memilih untuk menyelesaikan sesuatu isu dalam tempoh singkat berbanding menangani struktur masalah dengan lebih mendalam.
"Kita mengambil jalan pintas. Kita mahu penyelesaian segera tanpa membangkitkan isu asas," katanya ketika sesi perbincangan di kedai buku MPH di TRX Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Antara yang menggunakan kaedah ini kata Mohammed termasuk pihak pentadbiran, dasar ekonomi dan dasar pendidikan, sekali gus mengekang kemajuan negara.
Malaysia pernah dilabel sebagai satu daripada empat Harimau Asia dalam sektor ekonomi, setanding Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.
Mohammed (tengah) ketika sesi perbincangan tentang sejarah dan masa depan Malaysia bersama Premesh (kiri) dan Liyana. — The Star
Namun kata Mohammed, potensi Malaysia sudah luntur disebabkan sering membuat keputusan jangka masa pendek dan kebergantungan kepada penyelesaian sementara.
Walaupun infrastruktur Malaysia ketika ini mencapai kemajuan ketara, Mohammed berkata, dasar yang tidak konsisten dan kompromi politik telah melemahkan asas sosial dan ekonominya.
Buku itu yang mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan, diilhamkan daripada gambaran kekecewaan Mohammed terhadap peluang yang gagal dicapai Malaysia.
Kajiannya melibatkan lawatan secara meluas ke pusat arkib termasuk di United Kingdom. Di sana beliau meneliti dokumen sulit Kabinet British yang menceritakan pandangan daripada pihak penjajah itu tentang rundingan awal kemerdekaan Tanah Melayu.
"Saya perlu memastikan kajian saya kukuh. Jika ada fakta yang salah, saya akan diketawakan.
"Saya menghabiskan masa beberapa tahun di arkib termasuk di London demi memahami perspektif terhadap kemerdekaan Tanah Melayu.
"Dokumen itu menceritakan pandangan baharu yang tiada dalam kebanyakan buku sejarah," katanya.
Buku How Malaysia Missed 7 Chances at Nation Building mengambil masa enam tahun sebelum diterbitkan, siap dengan kajian menyeluruh tentang sejarah Malaysia. — The Star
Apabila ditanya tentang tujuh peluang yang beliau anggap paling kritikal pernah terlepas, Mohammed menyatakan ia melibatkan pendidikan dan kepimpinan.
"Jika kita melaksanakan dasar pendidikan yang betul, semua masalah kita hari ini akan dapat dikurangkan.
"Pendidikan adalah kunci kepada pembangunan modal insan.
"Ia memberi impak kepada semua perkara termasuk kecekapan perkhidmatan awam, pertumbuhan sektor perniagaan, pelaksanaan dasar dan juga rasuah.
"Tetapi untuk mencapainya, kita perlu kepimpinan yang tegas tanpa mengambil jalan pintas," katanya.
Semasa sesi perbincangan itu, beliau menyatakan harapan bahawa generasi sekarang dan akan datang boleh belajar daripada sejarah.
"Kita mempunyai masa 33 tahun sebelum Malaysia mencapai ulang tahun ke-100 kemerdekaannya.
"Generasi akan datang mempunyai tanggungjawab untuk belajar daripada masa lampau dan mengelak berulangnya kesilapan sama," kata Mohammed.
Semasa sesi itu, turut dibincangkan tentang ideologi nasionalisme dalam konteks membina Malaysia sebagai negara berbilang kaum, dengan Liyana memberi pandangannya tentang bagaimana ia telah berkembang di negara ini.
Pengunjung mengambil peluang untuk mendapatkan tandatangan dan berbual tentang sejarah Malaysia bersama Mohammed. — The Star
Beliau berkata, istilah itu telah disalahgunakan untuk menyampaikan naratif perkauman dan bukannya bagi tujuam membina negara.
"Ideologi nasionalisme telah disalah guna untuk mempromoasikan agenda perkauman berbanding membina negara.
"Kita perlu mentakrifkan semula istilah nasionalisme sebagai cinta kepada negara, bukan hanya untuk satu kaum,” tambahnya.
Liyana berkata, bagi mengubah pemikiran itu terutamanya dalam kalangan generasi muda, nasionalisme perlu dilihat sebagai satu konsep menyeluruh, bukannya eksklusif bagi satu pihak saja.
Sesi perbincangan itu bertambah menarik semasa sesi soal jawab.
Ada penonton membangkitkan persoalan tentang kepimpinan, pendidikan dan pembangunan ekonomi. Malah ada juga yang bertanyakan tentang suhu politik negara selain ada mahukan pandangan tentang cara untuk Malaysia bergerak maju.
Sejak buku itu diterbitkan pada Ogos tahun lalu, Mohammed berkata, sasaran jualan awal mencapai seperti kehendaknya.
Beliau juga mempertimbangkan untuk mengeluarkan edisi terjemahan Bahasa Melayu, tetapi mencari penterjemah yang boleh mengekalkan nada penulisan asal.
"Penulsan saya santai dan bersahaja tetapi membawa mesej yang serius.
"Saya perlu mencari mereka yang boleh menterjemah tanpa menghilangkan nada tersebut," katanya.
Acara itu berakhir dengan sesi menandatangani buku dengan pengunjung berpeluang berbual bersama penulis tentang kajiannya.
Buku How Malaysia Missed 7 Chances at Nation Building dijual pada harga RM70 dan boleh didapati kedai buku serta secara dalam talian menerusi www.mohammedhussein.my.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram