
SEBANYAK dua kemalangan berlaku dalam tempoh dua hari berturut-turut di simpang menuju ke sebuah sekolah agama di Meru, Klang, Selangor.
Kejadian itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terutama dalam kalangan pengguna jalan raya dan ibu bapa.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, dua kemalangan tersebut dikatakan berlaku secara serentak di dua simpang berhampiran sekolah tersebut.
BACA LAGI: Sempat suap nasi, budak lelaki dikhuatiri hilang ke parit luar rumah di Tanah Merah
"Dua hari berturut-turut kemalangan teruk, berhati-hati ketika di simpang ini dan dalam ada sekolah agama yang mungkin orang luar tidak tahu
"Jangan laju kerana pagi memang simpang ini sibuk, orang hantar anak sekolah di dalam itu," tulis pengguna Facebook Muhamad Zikri.
Sementara itu, rata-rata warganet menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan terbabit untuk mengambil tindakan lanjut.
Ia termasuk dengan pemasangan papan tanda amaran atau kawalan lalu lintas bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan sama.
"Minta pasang bonggol dengan garisan kuning," komen Mohd Hasyrikh Tarmuji.
"Setuju, dan pasang juga papan tanda amaran khusus di kawasan sekolah untuk perlahankan kenderaan," sokong Semalu Putera.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram