
PUNCA kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu disebabkan serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan punca kematian legenda skuad Seladang adalah disebabkan serangan jantung.
"Bedah siasat telah dijalankan pada pukul 9 malam Sabtu dan punca kematian disebabkan 'acute coronary syndrome' (serangan jantung)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI : [VIDEO] Sambutan hari jadi bertukar mimpi ngeri, wanita Vietnam melecur muka belon gas hidrogen meletup
Jenazah Ishsam yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan tiba di kediamannya di Desa Seri Ampang dekat Ipoh, Perak dari Hospital Pulau Pinang kira-kira 12.30 malam Sabtu.
Jenazah dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, kira-kira 10 pagi Ahad. Sebelum itu jenazah akan disolatkan di Masjid An-Nur Desa Seri Ampang.
Terdahulu, Majoriti melaporkan Allahyarham rebah tidak sedarkan diri selepas perlawanan Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang.
Allahyarham sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian berdasarkan gambar tular yang dikongsikan di media sosial.
Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram