Alami sawan sejak kecil, pemuda perlu dana RM100,000 untuk pembedahan epilepsi di PPUM


  • Massa
  • Khamis, 20 Feb 2025

Lai Zheng Wei (dua dari kanan) memerlukan kira-kira RM100,000 untuk menjalani pembedahan yang berpotensi mengubah hidupnya.

SEPASANG suami isteri warga emas merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan anak mereka yang berusia 21 tahun dan menghidap epilepsi (sawan) sejak 16 tahun lalu.

Leong Suay Kuen, seorang suri rumah dari Kampar, Perak, berkata anaknya, Lai Zheng Wei, memerlukan kira-kira RM100,000 untuk menjalani pembedahan yang berpotensi mengubah hidupnya.

"Setakat ini, kami berjaya mengumpul RM40,000," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Yayasan Community Care Enrichment Programme (CCEP) baru-baru ini.

BACA LAGI : [VIDEO] Atlet angkat berat remaja perempuan India maut patah tengkuk dihempap barbel 270kg

BACA LAGI : [VIDEO] Terlebih berani hulur makanan sambil usap buaya 'mangsa banjir', warga emas hampir maut dibaham

Sementara itu suaminya, Leong yang hanya bekerja sebagai pekerja am di sebuah ladang ayam, berkata anaknya lelakinya itu pertama kali mengalami serangan sawan ketika berusia lima tahun.

"Pada mulanya, saya tidak tahu ia adalah epilepsi kerana saya tidak pernah melihat simptom seperti itu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kedua-dua tangannya akan menjadi kaku, matanya terbuka luas seolah-olah merenung ke ruang kosong," katanya.

Menurutnya, serangan sawan tersebut berlaku empat hingga lima kali sehari, dengan setiap serangan berlangsung antara satu hingga dua minit.

Leong berkata, Zheng Wei pernah mendapatkan rawatan daripada seorang pakar pediatrik di Ipoh, Perak dan membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk ubat-ubatan. 

Namun, dia kemudian menemui sebuah farmasi yang menawarkan ubat pada harga lebih rendah sekali gus mengurangkan kos kepada sekitar RM200 sebulan.

Katanya, Zheng Wei mengambil ubat tersebut sehingga berusia 12 tahun, tetapi sawannya masih berterusan.

"Seorang ahli farmasi kemudian memberi amaran tentang kesan jangka panjang ubat terhadap perkembangan otak dan mencadangkan agar saya merujuk kepada pakar neurologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Namun, walaupun menerima rawatan selama beberapa tahun, keadaannya masih tidak stabil," katanya.

Bercerita lanjut, Leong berkata, dia turut tidur di bilik yang sama dengan Zheng Wei untuk memantau keadaan anaknya sekiranya berlaku serangan sawan dan akan menahannya untuk mengelakkan kecederaan.

"Sejak kebelakangan ini, bukan sahaja kesihatannya yang terjejas, tetapi keadaan ini juga memberi kesan emosi kepadanya,” katanya dengan nada sayu.

Zheng Wei sebelum ini bekerja di sebuah restoran di Ipoh, namun serangan sawan yang dialaminya menghalang pemuda itu daripada menjalani kehidupan seperti orang lain.

"Jika pembedahan ini berjaya, saya mahu dia melihat dunia dan menikmati kehidupan yang diimpikannya.

"Tetapi bagaimana dia boleh keluar daripada mimpi ngeri ini jika kami tidak mencuba? Bagaimana dia akan hidup selepas saya tiada nanti," ujar Leong.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CCEP, Yvonne Yee berkata, yayasan tersebut sedang giat mengumpul dana bagi membolehkan Zheng Wei menjalani pembedahan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat Petaling Jaya, Selangor antara April hingga Jun ini.

Menurut Yee, pembedahan yang dikenali sebagai stereo-electroencephalography (SEEG) itu merupakan prosedur invasif minima yang menggunakan elektrod kecil untuk memetakan kawasan epilepsi dalam otak, sekali gus mengurangkan keperluan pembedahan otak terbuka.

"Teknik canggih ini mempunyai kadar kejayaan lebih 90 peratus, memberikan Zheng Wei peluang untuk hidup bebas daripada serangan sawan.

"Kami amat memerlukan bantuan orang ramai untuk memberinya peluang menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Setiap sumbangan, walau sekecil mana pun, membawa Zheng Wei lebih dekat kepada kehidupan yang lebih cerah," tambahnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Yayasan CCEP di RHB Bank Bhd 26219300009342 dengan nama ‘Lai Zheng Wei’ sebagai rujukan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-9755 9999 atau WhatsApp melalui pautan https://wa.link/tzmmgy bagi mendapatkan resit sumbangan. — The Star/ IVAN LOHBoleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram