
PENDANAAN awam ekuiti merupakan satu platform pengumpulan dana alternatif yang membolehkan pelabur membeli syer sesebuah syarikat.
Kaedah ini membolehkan syarikat mengumpul modal dan memperoleh dana daripada orang awam.
Setiap syarikat yang ingin beroperasi sebagai platform pendanaan awam ekuiti juga harus mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
BACA LAGI: 120 jam tangan edisi khas M. Nasir laris, Artwist.Co tepis skeptikal kualiti jenama tempatan
Antara yang menggunakan kaedah pendanaan awam ialah Kumpulan GoodMorning Global Sdn. Bhd., (GoodMorning Global).
Lebih menarik, syarikat tersebut turut diiktiraf Malaysia Book of of Records (MBOR) kerana kejayaannya mencatat jumlah kutipan dana dan bilangan pelabur tertinggi menerusi kaedah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GoodMorning Global, Dr. Charles Fang Ching. — GoodMorning Global
Pada Julai 2023, GoodMorning Global merekodkan perolehan dana sebanyak RM20 juta dalam kempen pendaaan awam ekuiti dijalankan.
Untuk rekod, GoodMorning Global ialah syarikat teknologi makanan dan multibijirin yang menumpukan pada pengeluaran makanan dan minuman sihat.
Diasaskan Datuk Dr. Lim Sin Boon, GoodMorning Global berpegang kepada falsafah penyediaan produk berkhasiat dan lazat.
Syarikat terbabit turut menyatakan komitmen untuk mengubah industri makanan dengan menggunakan teknologi bagi membangunkan penyelesaian makanan berasaskan tumbuhan mapan, sihat dan inovatif.
Pada 2020, GoodMorning Global menjadi syarikat pertama dan terbesar di Malaysia menawarkan minuman nutrisi lengkap berasaskan tumbuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GoodMorning Global, Dr. Charles Fang Ching berkata, keputusan kerajaan memperkenalkan pendanaan awam ekuiti membuka peluang kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepertinya untuk membangunkan perniagaan masing-masing.
Ujarnya, terdapat lima sebab syarikatnya memilih menggunakan kaedah tersebut bagi proses pengumpulan dana selain dengan cara mendapatkan pembiayaan daripada pemegang saham, pinjaman bank dan pasaran modal.
GoodMorning Global berpegang kepada falsafah penyediaan produk berkhasiat dan lazat. — GoodMorning Global
"Pertama, ia adalah ekuiti yang menjadi sebahagian daripada kami. Namun, jika kami meminjam daripada pihak bank ia menjadi liabiliti kepada syarikat.
"Kedua, visibility dalam pasaran. Apabila kami memperoleh lesen pendanaan awam ekuiti, secara tidak langsung syarikat boleh mengadakan jelajah kepada umum.
"Kenapa mereka perlu melabur dengan GoodMorning Global? Apa masa depan kami? Apa manfaat yang bakal mereka peroleh? Jadi, secara tidak langsung umum dapat mengetahui lebih jelas mengenai syarikat ini," ujarnya.
Ketiga, beliau berkata, pendanaan awam ekuiti juga dipilih dengan mengambil kira model perniagaan ingin dilaksanakan syarikatnya yang melibatkan pemberian dividen tahunan.
Lazimnya, beliau berkata, dividen tahunan diberikan bentuk tunai, namun di GoodMorning Global, mereka menawarkan tunai dan baucar produk masing-masing 7.5 peratus dividen tunai dan 2.5 peratus baucar produk.
"Maksudnya, jika anda melabur bersama kami sebanyak RM100,000, anda akan peroleh tunai RM7,500 setiap tahun dan RM2,500 baucar produk.
"Ini model perniagaan kami iaitu pelabur menjadi pengguna, pengguna menikmati produk dan kami berkongsi keuntungan dengan mereka apabila menjadi pelabur," katanya.
Keempat, Charles berkata, langkah menjalankan pendanaan awam ekuiti turut secara langsung membolehkan pengiktirafan nilai terhadap syarikatnya dalam pasaran.
GoodMorning Global ialah syarikat teknologi makanan dan multibijirin yang menumpukan pada pengeluaran makanan dan minuman sihat. — GoodMorning Global
"Jika saya katakan kami adalah syarikat yang mempunyai modal pasaran RM220 juta, siapa yang iktiraf? Sudah tentu ribuan pelabur kami menerusi pendanaan awam ekuiti termasuklah kerajaan yang mengiktiraf nilai pasaran.
"Kelima, penghargaan dan terima kasih untuk pelabur. Kami sudah berada dalam pasaran sudah 15 tahun. Siapa kami pada hari ini adalah disebabkan pengguna kami. Jadi, kami mahu memberi ganjaran kepada mereka yang menyertai kami," jelasnya.
Bergerak ke hadapan, Charles berkata, GoodMorning Global memiliki perancangan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia di samping membangunkan lebih banyak rangkaian produk.
Ujar beliau, syarikatnya kini tidak semata-mata dikenali sebagai pengeluaran multibijirin kerana ia turut memberikan tumpuan terhadap bioteknologi yang memfokuskan kepada alternatif protein berasaskan tumbuhan iaitu bahan aktif antaranya daripada cendawan.
"Produk-produk kami tidak mahal dan sesuai untuk semua peringkat tanpa mengira latar belakang sama ada golongan T20, M40 dan B40.
"Visi kami mahu menjadi syarikat teknologi makanan dan multibijirin terkemuka dunia, dengan menyampaikan kesejahteraan kepada pengguna dan mencipta nilai untuk pemegang saham.
"Misi kami pula mahu membuka kunci nilai multibijirin dan menyediakan pengguna dengan pilihan minuman paling berkhasiat dan jaminan keselamatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram