Hakim lawat lokasi Zayn Rayyan dilapor hilang


Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.

HAKIM dan semua pihak terlibat dalam perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin pada Khamis, melawat lokasi kejadian kanak-kanak autistik itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat Petaling Jaya, Selangor pada 6 Disember 2023.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 pagi diiringi beberapa kenderaan polis serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Turut serta dalam lawatan itu ialah pihak pendakwa raya serta peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

BACA LAGI : Pandangan ibu Zayn Rayyan seperti kosong, tiada perasaan ketika disoal di mahkamah

BACA LAGI : Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke kawasan blok R apartmen itu dan hanya dibenarkan merakam gambar serta mengambil video di kawasan sekitar yang tidak berdekatan dengan lokasi kejadian.

Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, Hakim Syahliza menetapkan pada Khamis untuk pihak terlibat dalam kes itu termasuk saksi pendakwaan melawat lokasi kejadian bagi membuat pengecaman.

3152478

(Dari kiri) Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan pada 13 Jun lalu. 

Hal itu selepas pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan persekitaran apartmen itu bagi membolehkan saksi pendakwaan yang telah memberikan keterangan mengenal pasti tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram