[VIDEO] Mak cik, rakan subahat curi wang RM2,500 ketika majlis perkahwinan di Kota Bharu direman 4 hari


  • 112
  • Isnin, 17 Feb 2025

Warga emas wanita (gambar kecil) yang menyamar sebagai tetamu dan mencuri wang RM2,500 pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan dekat Pasir Mas ditangkap polis pada Ahad.

DUA warga emas yang ditahan polis kerana disyaki menyamar sebagai tetamu satu majlis perkahwinan sebelum melarikan beg tangan dengan sejumlah wang tunai RM2,500 di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed dilaporkan berkata, suspek wanita berusia 61 tahun dan rakan lelakinya, 62 tahun yang merupakan pemandu teksi ditahan reman bermula Isnin sehingga Khamis ini.

Susulan itu, Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani mengeluarkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura tumpang tandas, mak cik tak diundang majlis kahwin selamba 'kebas' duit di Pasir Mas

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja terjatuh tingkat 16 di Kota Kinabalu tinggal dengan keluarga angkat, ayah kandung meninggal tahun lalu

Sebelum ini, kedua-dua suspek berjaya ditahan polis di hadapan sebuah masjid di Kota Bharu, Kelantan.

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah terserempak dengan sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan.

"Anggota bertugas terus mengekori kereta tersebut dan menahan suspek bersama seorang lagi rakannya yang merupakan pemandu teksi di hadapan sebuah masjid," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, anggota bertugas telah melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri wang berjumlah RM2,500 semasa majlis perkahwinan tersebut.

"Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas pada Isnin untuk mendapatkan perintah tahanan reman," katanya.

Jelas Kama Azural lagi, semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai 10 rekod jenayah, manakala rakannya pula ada satu rekod jenayah lampau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram