Pandangan ibu Zayn Rayyan seperti kosong, tiada perasaan ketika disoal di mahkamah


Ismanira (kanan) juga tidak dapat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan ketika perbicaraan di Mahkmah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu. — The Star

KEADAAN ibu Zayn Rayyan Abdul Matin kelihatan kosong dan tidak memberikan sebarang reaksi apabila keterangannya dirakam pada 5 Disember 2023.

Saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autistik itu memberitahu perkara tersebut kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin yang bertugas sebagai pegawai penyiasat ketika kejadian di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memaklumkan perkara terbabit pada hari ketiga perbicaraan kes di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

BACA LAGI: Jurugambar polis dakwa wujud kesan kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan Zayn Rayyan

BACA LAGI: [VIDEO] Mekanik maut motor terlanggar tayar ganti Hilux tercampak masuk laluan bertentangan di Rembau

3151215

Ibu bapa Zayn Rayyan yang masih disiasat dan menjalani perbicaraan kes di mahkamah.

Menurutnya, keadaan Ismanira Abdul Manaf, 30, ketika itu seolah-olah tiada perasaan dan tidak dapat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa rakaman percakapan diambil di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Nina juga memaklumkan bahawa terpaksa berhenti seketika kerana sebak ketika memaklumkan perkara itu.

"Semasa rakaman percakapan diambil, saya ada bertanya beberapa soalan kepada pengadu, namun dia tidak dapat menjawab sebahagian daripadanya.

"Keadaan pengadu ketika itu seperti kosong, maksudnya tiada perasaan, tiada reaksi sama sekali," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dimaklumkan bahawa mayat seorang budak lelaki yang hilang ditemukan di tepi sungai berhampiran takungan air berdekatan Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai dengan kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan.

Jurugambar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Koperal Sulaimen Razak, 42, memberi keterangan sambil merujuk gambar-gambar tempat kejadian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata, beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat kanan, Asistan Superintendan Mohd Hafizee Ismail pada 6 Disember 2023 untuk mengambil gambar tempat kejadian Orang Hilang (OH) pada pukul 10 malam di apartmen berkenaan.

Sementara itu, saksi pendakwaan ketiga, Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, 35, berkata, pada 5 Disember 2023 beliau menerima satu laporan polis pada pukul 5.45 petang mengenai kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun daripada seorang wanita yang dikenali sebagai Ismanira.

Semasa laporan polis itu dibuat, Nurul Khairina berkata, pengadu seperti orang awam lain yang membuat laporan polis dan pengadu ada memaklumkan anak lelakinya itu Orang Kurang Upaya (OKU) autistik dan tidak boleh bertutur. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram