
SUASANA di sebuah pusat beli-belah terkenal, Setia Alam City Mall di Setia Alam, Shah Alam, Selangor bertukar kecoh apabila insiden tembakan berlaku di dalam bangunan tersebut.
Kejadian yang mencetuskan panik itu menyebabkan para pengunjung dan peniaga bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Keadaan bertambah panik apabila rakaman detik-detik mencemaskan itu mula tular di media sosial khususnya di laman Facebook.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas NVIDIA, giliran Elon Musk dimalukan robot penari China
Dalam video yang dimuat naik oleh seorang pengguna, kelihatan pengunjung berlari dalam keadaan ketakutan, sementara ada pekerja yang segera menutup kedai mereka.
Dalam pada itu, Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian tembakan itu dan memaklumkan bahawa pasukannya sudah bergegas ke lokasi kejadian.
"Polis sudah dalam perjalanan ke sana," katanya,
Dalam pada itu, memetik laporan Astro AWANI, seorang lelaki dipercayai warga tempatan telah melepaskan lapan tembakan di dalam pusat beli-belah berkenaan, sebelum bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, susulan insiden tersebut, mangsa iaitu seorang lelaki tercedera akibat terkena tembakan di kaki dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Suspek pula katanya, bertindak melarikan diri dari pusat beli-belah tersebut dan polis kini sedang berusaha menjejaki individu berkenaan yang dipercayai masih berada di kawasan berhampiran.
“Suspek telah meninggalkan mall itu, dan kita ada maklumat dia berada di luar kawasan tersebut. Jadi mall itu buat masa ini selamat dan kita release untuk dibuka semula seperti biasa dalam masa terdekat.
“Suspek itu kita percaya seorang warga tempatan, cuba melarikan diri dari mall itu dengan menaiki satu kereta yang ditumpang (dinaiki) secara paksaan. Individu (pemilik kenderaan) tersebut dah buat laporan polis baru-baru ini dan kita percaya dia (suspek) masih cuba melarikan diri.
“Maksudnya (suspek) tak ada kenderaan sendiri, saya mohon orang awam yang ada maklumat atau mencurigai seorang lelaki untuk hubungi pihak polis dengan segera,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram