
KEPIMPINAN Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 disifatkan bakal memperkukuhkan integrasi serantau dan transformasi digital di tengah-tengah situasi geopolitik global semasa.
Penganalisis percaya bahawa kepemimpinan negara juga akan memperkukuhkan komitmen ASEAN terhadap neutraliti dan sikap berkecuali.
Pengasas EMIR Research, Datuk Seri Dr Rais Hussin menekankan kepentingan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang pertama.
BACA LAGI: Malaysia bangkit isu pelarian Rohingya ketika Pengerusi Asean 2025 — Menteri Luar
BACA LAGI: Negara ASEAN sepakat mahu bantu Malaysia, tangani isu beras — Mohamad Sabu
“Inisiatif ini dapat meningkatkan peranan ASEAN dalam membentuk dialog antara rantau mengenai perdagangan, tenaga dan kerjasama keselamatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan blok ini,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut akan meletakkan satu garis neutral atau ‘neutraliti aktif’ Malaysia, dalam menyeimbangkan hubungannya dengan negara-negara Barat dan China.
“Menggalakkan penglibatan yang lebih erat dengan GCC dan China, sambil mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan dialog lain akan menguatkan kedudukan perundingan ASEAN.
“Pendekatan multipolar ini meletakkan ASEAN sebagai mediator atau pembina jambatan dalam urusan global, mengurangkan kerentanan yang berkaitan dengan persaingan kuasa besar,” katanya, sambil menambah bahawa ia juga akan membantu ASEAN mempelbagaikan hubungan ekonomi dan strategik negara.
Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN pada Januari 2025.
Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan turut senada apabila bersetuju, dengan mengatakan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China akan memperluaskan aktiviti perdagangan di rantau ini.
“Kepengerusian Malaysia selaras dengan integrasi sidang kemuncak serantau dan mengetepikan perbezaan geopolitik dalam ASEAN serta kuasa besar lain, termasuk negara-negara Eropah,” tambahnya.
GCC terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China di Kuala Lumpur dijadual berlangsung pada Mei ini.
Tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sudah menggariskan tiga keutamaan strategik untuk ASEAN apabila negara memegang tampuk kepengerusian kumpulan serantau itu pada 2025.
Ia meliputi pengukuhan rantai nilai serantau dan kerjasama regulatori, memperkukuhkan asas ekonomi negara anggota dan mengubah, menyusun serta menyesuaikan semula ekonomi mereka sambil memanfaatkan kelebihan masing-masing.
Anwar berkata, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan komitmen untuk membantu dan memberi kerjasama kepada Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri juga menekankan kepentingan memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan serta memupuk transformasi digital di rantau ini.
Sementara itu, Pengerusi Alternatif Majlis Perniagaan ASEAN-India, Nivas Ragavan berkata, kepengerusian Malaysia memberi peluang untuk mengukuhkan rantai nilai serantau di tengah-tengah peralihan ekonomi global.
"Dengan ketegangan geopolitik yang mendorong diversifikasi rantaian bekalan, ASEAN berpotensi menjadi hab pengeluaran yang berdaya tahan," katanya sambil menambah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan dasar perdagangan baharu dan rangka kerja perdagangan digital.
Nivas juga menyarankan agar ASEAN memperkemas perdagangan rentas sempadan melalui platform digital dan rangka kerja regulatori bersepadu, seperti ‘Asean Single Window’ dan perjanjian perdagangan digital diperluas bagi mengurangkan halangan birokrasi.
“Kepemimpinan Malaysia harus mendorong ASEAN untuk memanfaatkan rangka kerja pelaburan hijau yang jelas, memberi insentif kepada projek tenaga boleh diperbaharui dan melaksanakan amalan rantaian bekalan yang mampan.
“Dasar polisi ekonomi ASEAN harus mengutamakan integrasi PKS ke dalam rantai nilai serantau dengan memberikan akses kepada pembiayaan, teknologi dan inisiatif pembangunan kapasiti,” kata Nivas.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ahmad Yazid Othman berkata, kepengerusian Malaysia harus memastikan bahawa transformasi digital memberi manfaat kepada semua perniagaan, bukan hanya syarikat besar.
“Kepemimpinan Malaysia dalam ASEAN adalah peluang strategik untuk mempromosikan dasar ekonomi lebih kuat yang memberdayakan perniagaan, mendorong inklusi digital, dan meletakkan ASEAN sebagai blok ekonomi global yang berdaya saing,” katanya.
Perusahaan PKS diharap dapat menerima manfaat dari segi penyelarasan peraturan perdagangan di seluruh ASEAN menerusi kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. — Gambar hiasan
Ahmad Yazid memberi penekanan bahawa terdapat keperluan polisi khusus untuk menyokong perniagaan tempatan dalam cabaran semasa seperti jurang ekonomi dan persaingan dengan syarikat multinasional.
“Kami berharap ASEAN, di bawah kepemimpinan Malaysia, dapat memberi tumpuan kepada strategi praktikal dan berorientasikan tindakan yang memberi manfaat sebenar kepada perniagaan.
“Ini harus merangkumi penyelarasan peraturan perdagangan di seluruh ASEAN untuk mengurangkan kos pematuhan, terutama untuk PKS,” katanya sambil menambah, akses pasaran kepada sektor-sektor utama seperti kewangan Islam dan teknologi digital juga harus diperluaskan.
“Kepemimpinan Malaysia harus mengutamakan usaha memacu rangka kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dalam cara yang memberi manfaat kepada perusahaan sederhana dan bukan hanya pemain multinasional besar,” jelasnya
Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram