[VIDEO] Pemandu Axia putih keliling Bulatan Mahkota beratus kali hidap skizofrenia — Polis


  • 112
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Tangkap layar video memaparkan seorang pemandu kereta Perodua Axia berwarna putih yang mengelilingi Bulatan Mahkota di Kluang pada Khamis lalu.

TINDAKAN seorang pemandu kereta Perodua Axia berwarna putih yang mengelilingi Bulatan Mahkota di Kluang, Johor pada Khamis lalu menjadi perbualan dalam kalangan warga maya.

Manakan tidak, melalui video tular yang dikongsikan, pemandu tersebut memandu mengelilingi bulatan tersebut beratus kali bermula dari pagi hingga malam.

Menerusi video itu lagi, jelas memaparkan kereta terbabit membuat pusingan sambil menyalakan isyarat 'double signal' atau lampu isyarat kecemasan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam GTA, sampai 3 kereta peronda 'block' Honda kuning lari dari polis di lampu isyarat di Kluang

BACA LAGI: 'Sudah-sudahlah (rakam muka)', Man Tiger tembak suami isteri di Simpang Renggam kena reman 7 hari

Walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku, namun tindakannya itu masih lagi mengundang kegusaran awam dalam kalangan penduduk setempat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, pemandu kereta Perodua Axia itu merupakan pesakit yang menerima rawatan skizofrenia iaitu gangguan mental yang kronik.

Katanya, kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 50-an dengan lesen memandu B2 dan D yang masih sah sehingga 2027.

"Bagaimanapun, kereta berkenaan adalah milik abang kepada pemandu terbabit,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, pemandu kereta tersebut pernah menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor pada 2020 dan 2021 kerana penyakit mental.

"Terkini, dia ada menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi penyakit skizofrenia.

"Penama masih menerima rawatan di PSY Clinic dan mempunyai kad rawatan," katanya.

Terdahulu, Bahrin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 malam, Khamis.

"Kenderaan itu berjaya dihentikan anggota polis kira-kira 10 minit kemudian, tiada sebarang kemalangan dan kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Bahrin berkata, pihaknya sudah menasihatkan ahli keluarga supaya tidak membenarkan lelaki terbabit keluar rumah tanpa ahli keluarga dan dilarang memandu kenderaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram