![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/11/3161611.jpg)
INDIVIDU yang bertindak membuang dan melepaskan tiga ekor ular sawa ke dalam longkang di Persiaran Megah, Putra Heights, Selangor sudah direkod keterangan.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu respons menerusi WhatsApp berkata, kesemua ular tersebut dilepaskan di lokasi tersebut dalam kejadian pada 21 Januari lepas.
"Butiran pelaku juga sudah dapat direkodkan," katanya sebagai maklum balas kepada penduduk komuniti Putra Heights.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak kenal siapa Ed Sheeran, polis India cabut mikrofon semasa busking walaupun ada permit
Sementara itu, Majlis Bandaraya Subang (MBSJ) turut mengesahkan kejadian dan mengenal pasti pelaku terbabit.
Bagaimanapun, tiada laporan mengatakan bahawa kesemua ular yang dilepaskan berjaya ditangkap.
Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan dua individu yang melepaskan ular sawa berkenaan di dalam longkang.
Dalam video sama, kelihatan individu tersebut membawa tiga bungkusan plastik berisikan ular sawa.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penduduk sekitar terutama yang sering melalui kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan menerima laporan daripada seorang penduduk berhubung kejadian terbabit.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 5.52 petang pada 3 Februari lalu.
"Anggota polis di Balai Polis Putra Heights menerima satu laporan dibuat seorang lelaki tempatan yang memaklumkan melihat video berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp pukul 10.15 pagi, hari sama.
"Menurut pengadu, rakaman video berkenaan memaparkan dua lelaki serta seorang wanita menaiki kenderaan melepaskan tiga ekor ular sawa di longkang kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa
Beliau berkata, pengadu membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga selain dijadikan sebagai rujukan pihak berkaitan.
"Siasatan dijalankan oleh Ketua Polis Balai Putra Heights mendapati ular terbabit dilepaskan pada pertengahan Januari lalu.
"Kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram