![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/11/3161544.jpeg)
POLIS menahan seorang wanita yang didakwa memukul dan mencederakan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi dekat Arau, Perlis pada Isnin.
Wanita yang berusia 37 tahun itu ditahan di sekitar Mata Ayer selepas tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dari pasar raya berkenaan yang menunjukkan suspek memukul anaknya sehingga jatuh pada hari yang sama.
Tindakan suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin itu turut mengundang amarah dalam kalangan warga maya kerana menyebabkan kecederaan di muka anaknya.
BACA LAGI: [VIDEO] Perkelahan bertukar tragedi, datuk meninggal dunia lepas selamatkan 2 cucu di Pantai Irama
Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, pihaknya menerima satu laporan daripada orang awam sekitar berhubung perlakuan wanita berkenaan yang dirakam oleh CCTV berhampiran pasar raya itu yang kemudiannya tular di media sosial sejak Isnin.
"Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
"Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan di bawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau lagi, mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia lima tahun dan dia didapati mengalami luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam perkembangan lain, polis turut mengesahkan wanita berkenaan direman selama enam hari bermula Selasa.
Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang wanita memukul seorang budak perempuan dipercayai anaknya dalam keadaan marah dan kasar sehingga menyebabkan kecederaan.
Kanak-kanak tersebut dilihat terjatuh selepas dipukul sehingga menyebabkan kepalanya tercedera kerana terkena pada bucu bangku yang berada di hadapan pasar raya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram