![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/08/3157746.png)
PERKELAHAN hujung minggu sebuah keluarga di Pantai Irama dekat Bachok, Kelantan berakhir tragedi, apabila seorang warga emas lemas ketika menyelamatkan dua cucunya kejadian pada Sabtu.
Dalam kejadian dipercayai berlaku pukul 9.30 pagi, mangsa, Rosli Yusof, 63 dari Kampung Paya Senang dekat Kota Bharu, Kelantan ke pantai itu bersama isteri, seorang anak dan dua cucu mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, mangsa yang pencen Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dikatakan bersama cucunya turun ke pantai untuk bermain air di kawasan hujung batu di pantai berkenaan.
"Ketika mangsa sedang mengawasi kedua-dua cucunya sebelum mereka secara tiba-tiba ditarik ombak ke kawasan lebih dalam dan mangsa cuba menyelamatkan mereka.
"Isteri dan anak mangsa yang berada di lokasi kedai berhampiran cuba membantu namun anaknya turut lemas," katanya pada Sabtu.
Bagaimanapun, dua cucu dan anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian.
Tambah Mohd Azrie lagi, kesemua mangsa lemas dibawa ke daratan namun Rosli tidak sedarkan diri diberi bantuan awal kecemasan.
"Mangsa didapati meninggal dunia dan pengesahan dibuat pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.
"Manakala tiga lagi mangsa iaitu anak dan cucu arwah di bawah ke Hospital Bachok untuk rawatan susulan," katanya.
Jenazah dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Mohd Azrie berkata, polis menasihatkan orang awam tidak mandi manda di pantai berikutan cuaca masih berada dalam musim monsun timur laut dengan angin kencing dan ombak besar.
Terdahulu, tular satu video di laman media sosial memaparkan orang awam bersesak di kawasan pantai selepas pihak berkuasa menemui mayat mangsa di Pantai Irama.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram