
SEBUAH syarikat perkhidmatan pemasangan lantai diarahkan untuk membayar balik RM34,700 kepada seorang penjawat awam kerana gagal menjalankan kerja di rumah dua tingkat miliknya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.
Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Johor, Hafiz Zalkapli memberi tempoh selama dua minggu kepada responden untuk memulangkan semula wang kepada Siti Nazhaton Azamin@Azmin.
Siti Nazhaton,44, sebelum ini menemui iklan di media sosial mengenai sebuah syarikat di Taman Pulai Utama, Johor Baru yang menawarkan perkhidmatan lantai komposit plastik batu (SPC), sejenis lantai vinil tegar.
“Pemilik syarikat itu datang ke rumah saya pada 4 Julai 2024 dan saya telah membayar deposit RM4,500 kepadanya,” ujar Nazhaton ketika ditemui di luar Tribunal Tuntutan Pengguna Johor di Menara Ansar di Johor Bahru, Johor.
Jumlah keseluruhan kos mencecah RM34,700 untuk kerja pemasangan lantai di lima bilik tidur serta tujuh pintu kayu dan dua pintu polivinil klorida (PVC).
Dia membayar syarikat tersebut secara ansuran melalui tiga kali pindahan wang bank pada 7, 13 dan 21 Julai.
Nazhaton berkata, kerja-kerja penggantian lantai dijadualkan bermula pada Ogos tahun lalu tetapi pemilik syarikat mendakwa pihaknya sibuk menguruskan projek lain di Pengerang, Kota Tinggi.
Susulan penangguhan yang berulang kali, Nazahaton mendapati bahawa kontraktor berkenaan telah menggunakan wang yang dibayarnya sebagai modal untuk menjalankan projek lain.
"Saya berjaya bersemuka dengannya di Johor Bahru dan menuntut dia memulangkan wang kerana gagal menjalankan perkhidmatan," tambah pengadu.
Bagaimanapun, kontraktor tersebut tidak memulangkan wang dan perkara itu menyebabkan Nazhaton memfailkan tuntutan kepada Tribunal.
Mereka yang memerlukan bantuan berhubung perkara Tribunal, boleh menghubungi 07-227 1755 /1766. — The Star/ZAZALI MUSA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram