[VIDEO] Tindakan berani jurulatih peluk pelajar putus cinta, cuba lepaskan tembakan rambang di Portland masih dikenang selepas 6 tahun


  • Benua
  • Isnin, 03 Feb 2025

Tangkap layar Keanon Lowe (kiri) dilihat memeluk Angel Granados-Diaz yang datang ke sekolah dengan membawa senapang patah gara-gara kecewa putus cinta pada 2019.

PELUKAN selamatkan nyawa. Masih ramai yang tidak boleh lupa detik cemas di Sekolah Menengah Parkrose, Portland, Amerika Syarikat pada 2019 apabila seorang pelajar yang dikatakan kecewa angkara putus cinta cuba melepaskan tembakan rambang sebelum ia berjaya dihentikan seorang jurulatih bola sepak.

Rakaman video kejadian yang berlaku pada 17 Mei enam tahun lepas itu kembali tular selepas dimuat naik di media sosial pada Isnin.

Jurulatih itu, Keanon Lowe, dilihat berhadapan dengan pelajar, Angel Granados-Diaz, yang datang ke sekolah dengan membawa senapang patah (shotgun).

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu kekasih bawa lelaki lain balik rumah jadi punca guru silat sumbat mayat wanita dalam bagasi merah

BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km

Ketika keadaan dalam bilik darjah itu menjadi semakin tegang, Lowe terus bertindak untuk merampas senjata tersebut sementara pelajar lain bertempiaran melarikan diri kerana ketakutan.

Bagaimanapun, tragedi itu ditamatkan apabila Lowe terus memeluk Granados-Diaz, yang kelihatan begitu tertekan sebagai usaha untuk menenangkannya.

Dalam pelukan itu, remaja yang penuh keresahan itu kelihatan melepaskan beban emosinya.

Lowe telah berjaya mengelakkan satu tragedi besar daripada berlaku apabila tiada satu pun tembakan sempat dilepaskan.

Menurut laporan media tempatan, Granados-Diaz, yang ketika itu berusia 18 tahun membawa senjata ke sekolah kerana berasa kecewa selepas berpisah dengan teman wanitanya.

Dia tidak mahu ibunya menemui mayatnya di rumah, lalu memilih untuk membawa senjata api itu ke sekolah.

Peguamnya menyatakan bahawa dia bercadang untuk menamatkan riwayatnya di tandas sekolah tetapi akhirnya memilih kelas supaya ada yang akan menghubungi pihak berkuasa.

Keanon Lowe, yang kini dianggap wira masyarakat setempat juga berkongsi perasaannya di Twitter selepas kejadian itu berlaku.

"Saya tidak nampak pilihan lain selain bertindak. Syukur saya berjaya melalui ujian ini. Saya kini lebih menghargai keluarga saya dan sedar kita berdepan masalah besar yang memerlukan perhatian," katanya.

Mengulas lanjut, pendakwa raya berkata, Granados-Diaz mengaku bersalah atas kesalahan memiliki senjata api di tempat awam dan membawa senjata api yang dimuatkan peluru.

Dia juga menjalani rawatan untuk masalah kesihatan mental yang dihadapinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram