![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/09/3158511.jpg)
SUSPEK yang bertanggungjawab terhadap kes tembakan di sebuah pusat beli-belah dekat Setia Alam, Selangor tidak mempunyai kenderaan sendiri semasa melarikan diri.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek tersebut dikatakan menahan sebuah kenderaan di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) untuk melarikan diri.
Ketika menahan kenderaan tersebut, suspek dikatakan memaksa pemilik kenderaan untuk membawanya pergi dari pusat beli belah itu.
"Suspek itu kita percaya seorang warga tempatan, cuba melarikan diri dari mall itu dengan menaiki satu kereta yang ditumpang (dinaiki) secara paksaan. Individu (pemilik kenderaan) tersebut dah buat laporan polis baru-baru ini dan kita percaya dia (suspek) masih cuba melarikan diri.
“Maksudnya (suspek) tak ada kenderaan sendiri, saya mohon orang awam yang ada maklumat atau mencurigai seorang lelaki untuk hubungi pihak polis dengan segera,” katanya.
Polis percaya sekurang-kurangnya lapan das tembakan telah dilepaskan suspek terhadap mangsa.
"Suspek kemudian memaksa pemandu itu menurunkannya di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan pemandu terbabit kemudiannya membuat laporan polis," katanya.
Kejadian yang berlaku pada Sabtu itu menyebabkan seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan akibat ditembak oleh suspek yang ketika itu cuba merompak sebuah kedai barangan kemas.
Polis mengatakan yang pusat beli-belah itu selamat untuk dikunjungi oleh orang ramai bermula Ahad. Pihak polis menerusi unit forensik masih melakukan siasatan di lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram