[VIDEO] Tali gondola terputus, 2 pekerja Indonesia maut terjatuh ketika cuci cermin di tingkat 8 pusat beli-belah


  • Benua
  • Sabtu, 08 Feb 2025

Dua pekerja maut selepas terjatuh dari gondola di tingkat lapan sebuah pusat membeli-belah di kawasan Bekasi Selatan dekat Kota Bekasi, Jawa Barat pada Jumaat. — Agensi

DUA pekerja maut selepas terjatuh dari gondola di tingkat lapan sebuah pusat membeli-belah di kawasan Bekasi Selatan dekat Kota Bekasi, Jawa Barat pada Jumaat.

Ketika kejadian, kedua-dua pekerja tersebut sedang melakukan kerja-kerja pembersihan cermin di luar premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bekasi Selatan, Superintenden Kompol Dedi Herdiana mengesahkan kejadian itu

BACA LAGI : [VIDEO] Pemandu lori cuai dipercayai punca nahas dua maut di Kuala Krai — Polis

BACA LAGI : [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

"Kedua-dua mangsa merupakan pekerja pengurusan bangunan itu.

Ketika kejadian, mereka memang sedang membersihkan cermin kaca di luar bangunan," katanya.

Menurut Dedi lagi, mangsa dikenali dengan inisial D dan T maut di tempat kejadian.

Tambah beliau lagi, gondola yang digunakan oleh mangsa ditemui tergantung di tingkat lapan dalam kedudukan menegak dan salah satu daripada tali gondola tersebut terputus.

"Hanya dua mangsa yang terjatuh, manakala peralatan tetap berada di situ.

"Namun, ketika ditemui, peralatan itu berada dalam keadaan menegak (condong), bukan mendatar," jelasnya.

Susulan kejadian itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur kecuaian.

Setakat ini, empat saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

"Saksi terdiri daripada pihak pengurusan serta rakan-rakan mangsa," tambah Dedi.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram