![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/08/3157688.jpg)
TIGA cedera dalam nahas melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kempas Baru dekat Johor Bahru, Johor pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil laporan polis yang diterima, nahas berkenaan dipercayai berlaku pada pukul 6.25 petang di lokasi sebagaimana yang dimuat naik di laman media sosial pada hari yang sama.
"Siasatan mendapati kenderaan jenis Ford Ranger 2.0 yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Setia Tropika melanggar sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Tali gondola terputus, 2 pekerja Indonesia maut terjatuh ketika cuci cermin di tingkat 8 pusat beli-belah
"Akibat perlanggaran itu, pemandu Ford Ranger terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar van KIA Pregio dipandu lelaki warga tempatan berusia 53 tahun.
"Selain itu, pemandu Ford Ranger turut melanggar motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang lelaki warga tempatan berusia 18 tahun dan motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang sedang berhenti di lampu isyarat lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tiga cedera dalam nahas melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kempas Baru dekat Johor Bahru, Johor pada Jumaat. pic.twitter.com/KFf2nzo6v6
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) February 8, 2025
Kemalangan berkenaan menyebabkan pemandu van mengalami kecederaan di kepala dan kaki kanan, penunggang motosikal Yamaha 15ZR pula cedera di pinggang, leher dan tangan manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan di kepala, leher, tangan kanan dan kedua-dua kaki.
Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sementara pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujian saringan air kencing mendapati pemandu Ford Ranger negatif dadah dan bagi ujian saringan bacaan kandungan alkohol (SD2) juga negatif.
Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tempoh 12 bulan.
Terdahulu, tular satu video dan gambar memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh beberapa motosikal dan kereta di persimpangan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram