
KEMALANGAN melibatkan sebuah helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger dilaporkan berlaku di Bentong, Pahang.
Menerusi maklumat awal, kebakaran berlaku ketika helikopter sedang cuba mendarat di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong di Pahang dengan seorang disahkan maut, manakala seorang lagi terselamat.
Kejadian berlaku berdekatan kawasan kolam air panas ketika helikopter terbabit digunakan untuk kerja mengangkat bagi tujuan pemasangan kabel, dengan kebakaran menyebabkan pesawat musnah sepenuhnya.
BACA LAGI: 'Payslip' berubah, gaji minimum baharu RM1,700 manfaat lebih 4 juta pekerja bermula Sabtu
Bomba memadamkan kebakaran membabitkan helikopter yang terhempas di Bentong selepas terhempas akibat hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi media mengesahkan kejadian itu, namun belum dapat memberikan butiran lanjut.
Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.39 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah helikopter pengangkut yang musnah terbakar 100 peratus ketika berada di darat, dengan helikopter tiba-tiba tidak dapat dikawal dan terbalik lalu terbakar
“Seorang mangsa iaitu jurutera warga Indonesia, 44 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) disyaki terkena bilah kipas, manakala juruterbang selamat.
“Kebakaran berjaya dikawal dan padam sepenuhnya pada pukul 11.06 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram