[VIDEO] Famili sanggup labur RM3,000 bina studio rakaman mini, sokong minat anak istimewa berbakat dalam muzik


  • Massa
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Muhamad Luqman sering memuat naik video nyanyiannya di TikTok. — The Star

SEJAK kecil lagi, Muhamad Luqman Nazim Muhd Fadzli, 21, menunjukkan minat mendalam dalam bidang nyanyian.

Namun, siapa sangka pemuda berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) sindrom down itu tidak pernah gentar menonjolkan bakatnya.

Malah, Muhamad Luqman kerap membuat persembahan dengan menyanyikan lagu pelbagai genre seperti klasik, rock dan rock indie.

BACA LAGI: [VIDEO] Percaya jalan ALLAH, anak pengasas Madrasah Darul Ansar tepis godaan 'darah muda' semasa remaja

BACA LAGI: Dua beradik mangsa kebakaran di Skudai kembali tersenyum terima bantuan sekolah

Dia juga mula aktif berkongsi video nyanyian, membaca ayat-ayat al-Quran serta masakan di TikTok tiga tahun lalu.

Dengan lebih 21,000 pengikut, Muhamad Luqman membuktikan bahawa bakat tidak mengenal batasan.

"Saya memang suka menyanyi dan sentiasa gembira untuk membuat persembahan di hadapan orang ramai," katanya.

Perjalanan seni yang membuahkan hasil

Dua bulan lalu, Muhamad Luqman diberi peluang untuk membuat persembahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang dengan lagu Jangan Khianati Aku daripada Azlan & The Typewriter yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Bahkan, dia juga berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan OKU Got Talent di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan membawa pulang hadiah sebanyak RM200 pada 2023.

Namun, kejayaan itu bukanlah yang pertama kerana Muhamad Luqman pernah memenangi pertandingan sajak dan tilawah al-Quran di sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Seberang Jaya pada 2019.

Melihat perkembangan positif itu, ibunya, Farah Nazim, 45, tidak dapat menyembunyikan perasaan bangga terhadap anak istimewanya.

"Sejak kecil, dia sudah tunjukkan keyakinan luar biasa ketika menyanyi dan mendeklamasikan puisi.

"Kami sentiasa menyokong minatnya dan mahu dia berkongsi bakatnya dengan lebih ramai orang," luahnya.

Bina keyakinan melalui muzik

Farah pada masa sama percaya bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga elemen penting dalam perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Kajian yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities 2023 turut menyokong pandangan tersebut.

pic 2: Farah’s (right) support empowers Muhamad Luqman to chase his dreams of becoming a famous TikToker.

Sokongan Farah (kanan) memberi semangat kepada Muhamad Luqman untuk mengejar impiannya menjadi pempengaruh media sosial terkenal. — The Star

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa penglibatan dalam muzik membantu kanak-kanak OKU meningkatkan fokus, daya ingatan serta keyakinan diri.

Selain Muhamad Luqman, individu lain seperti Madison Tevlin dari Kanada berjaya membuktikan bahawa sindrom down bukan penghalang untuk berjaya.

Madison juga terkenal dengan nyanyian lagu All of Me oleh John Legend dan seterusnya membina kerjaya dalam industri hiburan.

Meskipun Muhamad Luqman tidak mempunyai suara setanding penyanyi profesional, Farah tidak melihat itu sebagai satu kelemahan.

Tujuannya adalah untuk memecahkan tanggapan dan persepsi masyarakat bahawa individu OKU juga mampu menjalani hidup seperti manusia normal.

"Ramai orang anggap kanak-kanak istimewa ini tidak mampu mengendalikan tanggungjawab kerana mereka tidak cukup ‘bijak’. Tetapi lihatlah Muhamad Luqman.

"Minatnya dalam nyanyian juga membolehkan dia menghafal lirik dan membuat persembahan dengan penuh keyakinan.

"Dia juga mampu membaca al-Quran dan mendeklamasikan puisi," katanya yang kini bergelar suri rumah sepenuh masa sejak 2004 untuk menjaga Muhamad Luqman yang dilahirkan dengan masalah jantung.

Farah dan suaminya juga sentiasa memastikan bahawa Muhamad Luqman mempunyai peluang untuk berjaya.

Masakan tidak, mereka sanggup melaburkan wang sebanyak kira-kira RM3,000 untuk membina studio rakaman mini lengkap dengan komputer, mikrofon dan penapis suara bagi memudahkan anak kesayangannya menghasilkan video.

Hasil usaha dan berkat doa kedua ibu bapanya, Muhamad Luqman mampu menjana pendapatan sekitar RM300 hingga RM500 sebulan menerusi hadiah maya yang diterima daripada peminatnya di TikTok.

6115947861326806927

Muhamad Luqman mampu membuktikan keadaannya bukan penghalang untuk berjaya. — The Star

Cabaran dan harapan masa depan

Namun, di sebalik kejayaan itu, Farah tidak menafikan bahawa masih berasa bimbang tentang masa depan anaknya.

Katanya, peluang pekerjaan bagi individu sedemikan masih terhad dan stigma masyarakat sering menjadi penghalang.

"Ramai majikan ragu-ragu untuk menggaji individu dengan sindrom down.

"Namun, dengan bimbingan dan latihan yang betul mereka sebenarnya mampu menguasai kemahiran tertentu," katanya.

Farah bagaimanapun berharap agar Muhamad Luqman mendapat peluang lebih besar dalam industri muzik, sama ada melalui latihan profesional atau persembahan di skala besar.

"Saya tidak pasti sejauh mana popularitinya di TikTok akan bertahan, tetapi saya percaya ada yang akan melihat potensinya dan dapat membantu melangkah lebih jauh," harapnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram