Ibu tunggal di Jenjarom terima RM300 Bantuan Kasih Yayasan Keluarga Malaysia


  • Massa
  • Selasa, 04 Feb 2025

Ismail Sabri (kiri) ketika melawat Ai Tin (tiga dari kanan) di Taman Yayasan di Jenjarom sempena program Ziarah Kasih baru-baru ini.

SEORANG ibu tunggal boleh menarik nafas lega selepas menerima bantuan tunai sempena Tahun Baharu Cina sekali gus meringankan beban kewangan dalam menyara dua anaknya yang masih bersekolah.

Na Ai Tin, 43, yang bekerja sebagai pembantu jualan, kehilangan suami, Tan Heeng Kooi, empat tahun lalu selepas meninggal dunia akibat Covid-19.

Kini, Ai Tin menjadi satu-satunya pencari nafkah kepada dua anaknya, Tan Fu Xiang, 17, dan Tan Yan Shi, 14.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Alza langgar mati pelajar cemerlang negatif dadah, dibebas dengan jaminan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

Ai Tin merupakan antara 16 keluarga Cina di seluruh negara yang menerima bantuan perayaan Bantuan Kasih daripada Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program bantuan itu telah dijalankan sejak tahun lalu bagi membantu keluarga yang memerlukan, khususnya semasa musim perayaan.

"Tahun ini, keluarga Ai Tin adalah antara 16 penerima yang dikenal pasti untuk menerima sumbangan sebanyak RM300 setiap seorang," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini..

Majlis penyerahan bantuan itu berlangsung di kediaman Ai Tin dan disampaikan sendiri oleh Ismail Sabri, dengan tajaan daripada syarikat peruncitan Aeon Big.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan YKM, pihaknya memaklumkan bahawa bantuan tunai telah dikreditkan kepada penerima selewat-lewatnya pada 30 Januari.

"Setakat ini, hampir 1,000 penerima telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM3 juta setahun. Jumlah ini dijangka meningkat kerana kami masih menerima dan meneliti permohonan baharu,” menurut kenyataan itu.

Bantuan Kasih merangkumi dua kategori iaitu RM200 sebulan untuk penerima berusia 15 tahun ke bawah dan RM250 sebulan bagi mereka yang berusia 16 tahun ke atas sehingga menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pertama.

Pemohon akan dimaklumkan mengenai status permohonan mereka melalui e-mel dan WhatsApp.

Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan YKM, orang ramai boleh menghubungi 03-2202 7493 atau e-mel ke [email protected]. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram