Gen Z utamakan gaji, minat kerja hibrid sedekad lebih lama berbanding milenial


  • Massa
  • Rabu, 29 Jan 2025

Gaji dan fleksibiliti sama penting dalam menentukan sama ada generasi Z akan kekal lama dalam sesuatu pekerjaan atau tidak.

GENERASI Z (Gen Z) dijangka bekerja sekurang-kurangnya satu dekad lebih lama berbanding generasi milenial.

Namun, bertentangan dengan kepercayaan umum, golongan itu lebih mengutamakan gaji dan manfaat kewangan berbanding pengalaman bermakna dan kesejahteraan ketika mencari pekerjaan.

Kajian menunjukkan bahawa selain gaji, manfaat, peluang kenaikan pangkat, rangkaian profesional dan keseimbangan kerja-kehidupan, budaya dan persekitaran tempat kerja memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada Gen Z akan kekal di sesebuah syarikat atau sebaliknya.

Dalam soal susunan kerja, majoriti Gen Z memilih model kerja hibrid.

Sebanyak 71 peratus daripada mereka lebih gemar bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah, menjadikannya susunan kerja yang ideal bagi kebanyakan golongan muda ini.

Selain itu, sebanyak 17 peratus lagi memilih bekerja sepenuhnya dari rumah, satu trend yang berlaku akibat kesan jangka panjang semasa pandemik Covid-19.

Walaupun begitu, keutamaan terhadap kerja jarak jauh tidak bermakna mereka menolak kepentingan interaksi bersemuka dengan penyelia dan rakan sekerja.

2

Budaya dan persekitaran tempat kerja memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada Gen Z akan kekal di sesebuah syarikat.

Gaji dan fleksibiliti

Kajian Navigating a 100-Year Life: Preparing for 50 Years of Career and Beyond yang dijalankan Southeast Asian Centre for Workplace Well-being, Universiti Monash Malaysia, mendedahkan bahawa 38 peratus responden mengutamakan gaji dan manfaat apabila menilai majikan.

Sementara itu, 19 peratus lagi melihat fleksibiliti dalam susunan kerja sebagai kriteria penting.

Menurut pengasas bersama dan pengarah pusat tersebut, Profesor Dr Jane L.Y. Terpstra Tong, Gen Z lebih realistik dalam mengurus jangkaan mereka terhadap tempat kerja.

“Gaji dan fleksibiliti sama penting dalam menentukan sama ada mereka kekal lama dalam sesuatu pekerjaan atau tidak.

"Selain itu, mereka juga percaya bahawa majikan dan institusi pendidikan perlu menyediakan sumber untuk membantu mengurus kesihatan mental pekerja,” katanya.

Majikan perlu sesuaikan diri

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan yang memahami keperluan Gen Z dan memenuhi jangkaan mereka akan dapat menarik serta mengekalkan pekerja terbaik dalam organisasi.

Namun, beliau menegaskan bahawa keseimbangan perlu dicapai antara keperluan pekerja Gen Z dan keperluan syarikat untuk mengekalkan produktiviti.

"Ini memerlukan perancangan strategik serta sumber yang mencukupi.

“Kedua-dua pihak perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dan kapasiti majikan juga perlu diambil kira,” katanya.

Beliau menambah, walaupun majikan boleh menyesuaikan diri dengan penanda aras industri, kemampuan untuk memenuhi semua jangkaan Gen Z, terutama dari segi gaji dan manfaat, masih bergantung kepada kedudukan kewangan syarikat masing-masing.

Dalam usaha memberikan lebih fleksibiliti kepada pekerja, pindaan terhadap Akta Kerja 1955 telah membolehkan pelaksanaan model kerja hibrid.

“Majikan boleh melaksanakan model seperti tiga hari bekerja di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kerja jarak jauh memerlukan pelaburan dalam teknologi, yang mungkin menjadi cabaran bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) disebabkan kekangan aliran tunai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram