[VIDEO] Polis sahkan perselisihan faham punca suami simbah petrol, bakar kereta isteri sampai rentung di JB


  • 112
  • Isnin, 03 Feb 2025

Sebuah kereta jenis Toyota Vios dilaporkan terbakar lebih 80 peratus di Jalan Tebrau, Johor Bahru, Johor pada Ahad. — Ihsan Bomba

SEBUAH kereta jenis Toyota Vios dilaporkan rentung terbakar dalam satu insiden cemas yang berlaku berhampiran Hospital Columbia, Jalan Tebrau, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam itu tercetus akibat perselisihan faham rumah tangga yang mengakibatkan kereta terbabit disimbah petrol sebelum terbakar.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian khianat itu dilakukan sendiri suami kepada pemilik kereta terbabit sehingga wanita itu mengalami kerugian lebih RM90,000.

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa nahas 'makan jalan' Bukit Ampang rupanya pelajar jurusan akaun no.2 terbaik dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sedar adik tertinggal belakang, budak 5 tahun maut terperosok di laluan lif sempit di Mumbai

Hasil siasatan mendapati, suaminya yang berusia 25 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap isterinya yang berusia 21 tahun selepas berlaku salah faham dalam rumah tangga.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di jalan tersebut, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam.

“Suspek tiba-tiba muncul dengan menaiki Toyota Vellfire menyekat kereta yang dinaiki isterinya bersama dua wanita lain serta seorang lelaki.

“Suspek bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta sebelum lari dengan Toyota Vellfire,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Polis kini sedang giat mengesan lelaki tersebut bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor menganggarkan kereta terbabit musnah lebih 80 peratus dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku ketika kejadian.

Seramai 10 anggota bomba dikejarkan ke lokasi selepas satu panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 10.13 malam.

"Setibanya pasukan operasi di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran kereta jenis Toyota Vios, kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.

"Pasukan penyelamat bertindak memadamkan api menggunakan satu aliran salur bantu sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram