
PEPERIKSAAN Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 akan dilaksanakan pada 3 hingga 13 Februari nanti yang melibatkan seramai 4,507 calon berdaftar.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, peperiksaan itu akan dijalankan di 132 pusat seluruh negara dengan 926 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan pengurusan dan operasi berjalan dengan lancar.
"KPM ingin mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan untuk butiran tarikh, masa, kod, kertas dan arahan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh peperiksaan.
"Jadual waktu boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan slip pendaftaran ke pusat peperiksaan.
KPM juga menasihati calon supaya mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan peperiksaan lancar.
"Kementerian mengambil kira tentang keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan, terutama dalam menghadapi kemungkinan bencana seperti banjir semasa tempoh peperiksaan.
"Calon dinasihatkan supaya memaklumkan kepada sekolah atau jabatan pendidikan negeri dengan segera sekiranya tidak dapat menduduki peperiksaan di pusat yang ditetapkan atau mana-mana pusat berdekatan akibat ditimpa musibah.
"Mereka juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat peperiksaan dan pejabat Pendidikan Negeri di seluruh negara," katanya.
Kementerian pada masa sama memberi jaminan bahawa ia dilaksanakan dengan persediaan dan mekanisme efektif termasuk kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menangani sebarang situasi kecemasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram