MAHAR sokong komitmen bantu bina semula Gaza, seru beri dokumen sah dan permit kerja pelarian Palestin di Malaysia


  • Massa
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion). — AFP

USAHA pembangunan semula infrastruktur di Gaza tidak hanya melibatkan bantuan daripada dana tetapi meliputi sokongan kepakaran dalam bidang kemanusiaan dan logistik.

Sehubungan itu, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyambut baik komitmen ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung komitmen Malaysia dalam membiayai pembinaan semula sekolah, hospital, dan masjid di wilayah tersebut.

BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB

BACA LAGI: Jelajah 20 negara cari ilham, jurugambar amatur Serendah kongsi pengalaman gambar dibeli pelanggan Israel

"Inisiatif ini, seperti yang dilaporkan menzahirkan sokongan berterusan Malaysia terhadap rakyat Palestin.

"MAHAR menyokong sepenuhnya usaha murni ini dan komited untuk memainkan peranan aktif dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, menggerakkan kepakaran, serta memastikan sumber yang diperlukan disalurkan dengan berkesan bagi menjayakan projek pembinaan semula ini," menurut MAHAR dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di wilayah tersebut.

KUALA LUMPUR, 26 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media Syarahan Perdana Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas bertajuk 'Islam: The Covenant Fulfilled' di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan seluruh rakyat.

Jelas Anwar, kerajaan Malaysia dan Jepun juga berjaya mencapai kesepakatan menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan.

Pada 18 Januari lalu, beliau berkata, pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).

Dalam pada itu, Presidennya, Jismi Johar menjelaskan usaha kemanusiaan dijalankan itu bukan sekadar memerlukan keprihatinan, tetapi juga ilmu, strategi, dan kesediaan menghadapi cabaran di lapangan.

"MAHAR kekal teguh dalam misi membantu saudara kita di Palestin dan bersedia menyokong visi kemanusiaan Malaysia secara menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut menegaskan bahawa MAHAR akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan bantuan kemanusiaan yang lebih menyeluruh dan berkesan, sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, organisasi itu turut membangkitkan mengenai keperluan membantu rakyat Palestin berlindung di Malaysia.

Untuk tujuan tersebut, MAHAR menyeru supaya dokumen sah dan permit kerja diberikan kepada pelarian Palestin bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu pemulihan Gaza.

"Sokongan juga perlu diberikan kepada pelajar-pelajar Palestin di Malaysia, yang keluarganya terjejas akibat konflik berterusan.

"Melalui inisiatif Dapur Ihsan, MAHAR terus menyediakan makanan siap masak setiap hari kepada mereka memerlukan, di samping meneruskan penghantaran bekalan makanan dan bantuan penting kepada komuniti terkesan di Gaza," ujar kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram