![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/29/3142448.jpg)
SIAPA sangka hanya menggunakan bahan asas seperti tepung jagung, minyak masak, gam dan cuka, seorang suri rumah mampu menjana pendapatan lumayan?
Itulah kejayaan diraih oleh Rifasyariah Abdul Rashid, yang kini memperoleh pendapatan sekitar RM5,000 sebulan melalui pembuatan replika makanan.
Malah, pendapatan mencecah dua kali ganda ketika musim perayaan.
BACA LAGI: [VIDEO] E-Sukan VR pertama di Malaysia, rasai pengalaman futuristik di EVA Sungai Long
Replika makanan yang dihasilkan Rifasyariah.
Menariknya, wanita berusia 51 tahun itu hanya mengambil masa empat bulan untuk menguasai seni tersebut dengan memperoleh hasil pembelajaran daripada rakan-rakan dan sumber lain.
Berasal dari Chenderong Balai, Teluk Intan, Rifasyariah kini terkenal dengan kepakarannya menghasilkan replika makanan seperti nasi ayam, rendang, biskut raya, kuih tradisional, sayur-sayuran, buah-buahan, cendol dan kelapa.
Rifasyariah berkata, meskipun kebanyakan replika itu tidak terlalu rumit untuk dibuat, ada juga yang memerlukan ketelitian tinggi.
“Replika nasi antara yang paling mencabar kerana setiap butir nasi perlu dibentuk secara manual. Ia memakan masa hampir seminggu untuk menyiapkan sepinggan nasi,” kongsinya.
Setiap replika makanan itu dijual pada harga antara RM20 hingga RM1,000 bergantung pada saiz dan reka bentuk.
Rifasyariah menjelaskan bahawa proses pembuatan replika makanan bermula dengan mencampurkan semua bahan termasuk cuka sehingga membentuk doh yang lembut seperti doh roti.
Doh itu kemudian disimpan dalam bekas kedap udara bagi memastikan ia tahan sehingga enam bulan.
“Cuka ditambah bagi mengelakkan doh daripada berkulat.
"Setelah dibentuk mengikut rupa makanan yang diingini, replika akan diwarnakan menggunakan cat akrilik bagi memberikan kesan lebih realistik,” jelasnya.
Ridasyariah menerima tempahan replika untuk hiasan rumah, kedai atau cadangan menu kafe.
Kebanyakan pelanggan membuat tempahan melalui WhatsApp dengan memberikan spesifikasi seperti saiz, warna dan perincian lain mengikut kehendak mereka.
Salah satu projek terbesar yang pernah dihasilkannya ialah replika piramid makanan yang ditempah oleh Hospital Kampar, Perak.
Hasil kerja Rifasyariah mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan, sekolah, restoran serta individu yang memerlukan replika makanan untuk tujuan pameran dan promosi.
Tempahannya diterima dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Setiap perniagaan pasti memiliki cabaran tersendiri, ada kalanya, beliau berdepan pelanggan yang cerewet dan meminta perubahan pada hasil kerja yang telah disiapkan.
Walau bagaimanapun, Rifasyariah tetap komited memastikan setiap replika yang dihasilkan berkualiti tinggi, tahan lama selagi tidak terjatuh serta mudah dibersihkan menggunakan tisu lembap jika berhabuk.
“Saya sangat menikmati kerja ini kerana bukan sahaja dapat menjana pendapatan tetapi juga mengisi masa lapang memandangkan hanya saya dan suami di rumah,” katanya.
Dengan minat yang mendalam, Rifasyariah bertekad untuk terus berkarya selagi kudrat mengizinkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram