HOBI tidak hanya memerlukan kita untuk melakukan sesuatu di luar, sebaliknya seorang individu boleh mempunyai aktiviti kesukaan sendiri hanya ketika berada di rumah.
Bagaimanapun, ramai manusia tidak menyedari bahawa beberapa aktiviti yang sering dilakukan di rumah merupakan jenis hobi kesukaan buat mereka.
Mulai dari memasak, bermain alat muzik, melukis, hingga bersukan dalam rumah, semua ini adalah aktiviti yang juga tergolong sebagai hobi yang menguntungkan.
Berikut merupakan senarai hobi yang mungkin boleh menjadi menjana pendapatan daripada sekadar duduk diam semasa berada di rumah.
1. Menulis
Hobi menulis boleh dimanfaat dalam pelbagai cara untuk menjana pendapatan tambahan.
Bagi mereka yang minat menulis, menjadi seorang Ghost Writer secara sambilan merupakan antara peluang untuk menjana pendapatan.
Tidak hanya itu, bidang Copy Writer juga membuka banyak peluang buat mereka yang suka menulis tentang produk atau yang berkait dengan pemasaran.
Bagi seorang penulis, bidang itu tidak hanya terhad untuk seseorang melibatkan diri untuk menulis sesuatu tetapi mereka juga boleh mejadi seorag editor sambilan atau mengajar orang lain untuk menulis.
2. Reka bentuk grafik
Bagi mereka yang gemarkan seni reka visual, hobi mereka seni grafik juga boleh menjadi lubuk menjana pendapatan.
Meskipun tidak semua arif tentang itu, seni ini masih boleh dipelajari dan dikuasai jika seseorang mempunyai minat yang mendalam.
Tidak semestinya perlu membuat sesuatu yang kompleks, sekadar membuat poster atau rekaan kad yang sudah boleh menarik minat ramai untuk menempah dari dalam dan luar negara.
3. Seni kreatif dan kraftangan
Bakat melukis juga merupakan hobi yang menguntungkan selain menenangkan jiwa.
Tidak semua mempunyai bakat dalam hobi ini, namun buat mereka yang dianugerahkan dengan jari seni, ia boleh dimanfaatkan sebagai salah satu aktiviti menjana pendapatan.
Tidak kira apa jua seni sama ada khat, lukisan gambar, gubahan atau sebagainya, seni kreatif mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
Tambahan pula dengan jaringan media sosial yang luas, jangan terkejut jika ada pelanggan dari luar negara mahu menempahnya nanti.
4. Memasak
Aktiviti memasak bukan hanya hobi tetapi merupkan tugas harian terutama buat seorang isteri dan ibu. Namun, ia juga menjadi aktiviti kesukaan golongan bujang termasuk lelaki.
Tidak semua berani mahu berkongsi masakan mereka dengan orang luar, tetapi dengan sedikit ramuan keyakinan seseorang boleh menjadikan masakan sebagai lubuk rezeki.
Sebagai contoh ramai individu yang bukan cef yang kini dikenali sebagai jaguh masakan hanya dengan berkongsi video di media sosial.
Kemudian, mereka membuat produk makanan sendiri dan memasarkannya juga hanya di platform media sosial.
5. Melayari media sosial
Melayari sosial media juga boleh menjadi lubuk pendapatan tambahan.
Aktiviti ini sudah menjadi kebiasaan terutama golongan millenial yang tidak boleh dipisahkan dengan telefon pintar.
Tetapi, tidak semua tahu menerusi media sosial mereka boleh menjana pendapatan dengan menyertai skim sebagai ejen promosi.
Banyak syarikat kini memanfaatkan platform media sosial sebagai tapak promosi dan peluang ini perlu dimanfaatkan daripada sekadar duduk dan sekadar melayari konten. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram