MCA Johor mohon maaf, hantaran FB dibuat ahli sudah bersara


  • Massa
  • Selasa, 28 Jan 2025

MCA Johor tampil memohon maaf susulan perkongsian status menghina dan memperlekeh agama Islam yang dibuat tanpa sengaja.

MCA Johor tampil memohon maaf susulan perkongsian status menghina dan memperlekeh agama Islam yang dibuat tanpa sengaja oleh salah seorang pentadbir Facebook parti tersebut pada Ahad lalu.

Parti itu dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa menjelaskan bahawa hantaran tersebut dimuat naik secara tidak sengaja oleh seorang ahli yang telah bersara, tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama MCA Johor.

Menurutnya, pentadbir yang telah lama bersara dari pejabat MCA Johor itu mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.

BACA LAGI: Pernah jadi kubu kuat MCA, kreativiti muka baharu dan tradisi bakal pecah antara trivia menarik PRK Kuala Kubu Bharu

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

"Pentadbir tersebut juga telah pun dikeluarkan daripada memiliki akses Facebook MCA Johor dan kini ia dikendalikan oleh pentadbir baharu sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, MCA Johor berkata, mereka tidak pernah berniat hendak mengguris perasan umat Islam dan menghina agama Islam.

"Kami di MCA Johor tidak pernah terlintas dan tiada niat untuk mengguris hati, jauh sekali menghina atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.

"Sekali lagi, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku.

"MCA Johor akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi," jelasnya.

Pada Ahad lalu, MCA Johor menerusi akaun Facebooknya memuat naik status, mempertikai bajet untuk pembangunan al-Quran dan bantuan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan mengaitkannya dengan bantuan tol sempena Tahun Baharu Cina.

Tindakan itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan umat Islam khususnya, selain membina persepsi yang salah terhadap bantuan diterima umat Islam dan rakyat Palestin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram