Guan Eng kalah rayuan saman fitnah terhadap Naib Presiden MCA, SMG


Guan Eng diarah membayar RM30,000 kepada Teik Cheng serta RM40,000 kepada SMG.

BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kalah rayuan saman fitnah terhadap Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng dan Star Media Group Bhd (SMG) di Mahkamah Rayuan pada Jumaat.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim See Mee Chun, Hakim Azmi Ariffin dan Ahmad Kamal Shahid berpendapat, rayuan Guan Eng tiada merit, lalu memerintahkannya membayar kos RM30,000 kepada Teik Cheng dan RM40,000 buat SMG.

Ahmad Kamal yang membacakan keputusan berkata, isu yang dibangkit dalam artikel itu adalah soal berkepentingan awam.

BACA LAGI: Mahkamah perintah Muhyiddin bayar Guan Eng RM1.35 juta kerana menfitnah

BACA LAGI: Dakwaan ugut pecat Guan Eng pembohongan terang-terangan — Tun M

WhatsApp Image 2024-12-06 at 4.14.36 PM

Tiek Cheng sebelum ini mengeluarkan kenyataan dalam akhbar The Star.

Menurut beliau, seseorang yang waras akan beranggapan bahawa penjelasan akan diberikan Guan Eng berhubung isu dana disalurkan kepada SJK (C) Kuek Ho Yao dan sepanjang proses perubahan nama sekolah vernakular itu.

"Pada pemikiran kami, pembaca biasa yang berfikiran wajar, apabila membaca kenyataan itu secara keseluruhan akan faham ia bertujuan mendapatkan penjelasan daripada perayu (Guan Eng) berhubung dakwaan itu.

"Terdapat kepastian sama ada nama SJK (C) boleh ditukar, (dan) ini memerlukan penjelasan,” katanya.

Pada 21 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi George Town memutuskan bahawa komen Tiek Cheng yang disiarkan dalam The Star Online, tidak berunsur fitnah terhadap Guan Eng.

Menara Star, October 28, 2021. — GLENN GUAN/The Star

Guan Eng diperintahkan membayar RM40,000 kepada Star Media Group.

Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap kedua-dua defendan berhubung komen Tiek Cheng mengenai peruntukan RM4 juta untuk sekolah vernakular Cina semasa pilihan raya negeri Johor tahun lepas.

Komen itu diterbitkan dalam ruangan The Star's Letters to the Editor.

Mahkamah Tinggi mendapati kenyataan yang disangkal itu tidak berunsur fitnah atas beberapa sebab, antaranya kenyataan itu apabila dibaca secara keseluruhan adalah semata-mata gesaan agar Guan Eng menjelaskan dakwaan yang timbul semasa pilihan raya negeri Johor.

Di pihak The Star selaku defendan kedua, Mahkamah Tinggi mendapati portal berita dan harian itu berhak untuk bergantung kepada pembelaan laporan dan ia menerbitkan kenyataan itu secara 'adil, tidak berminat dan neutral'. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram