POLIS berjaya menahan enam individu yang dipercayai terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, Puchong, Subang Jaya, Selangor pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah tersebut pukul 12.13 pagi Ahad menerusi panggilan MERS 999.
Mohd Fairus berkata, kira-kira seramai 11 lelaki bertopeng yang membawa beberapa bilah parang bertindak pecah masuk ke rumah mangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
Beliau berkata, sekumpulan penjenayah yang menaiki tiga kereta itu membuka pagar serta pintu rumah yang tidak berkunci lalu terus berlari masuk ke dalam kediaman tersebut.
"Suspek menyerbu dua mangsa lelaki berusia 31 dan 38 tahun di ruang tamu rumah dan berkali-kali menetak mereka menggunakan parang.
"Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri menaiki tiga kereta.
"Kedua-dua mangsa mengalami cedera akibat ditetak di bahu, badan, kaki, tangan serta beberapa anggota badan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek yang memakai topeng muka dan bersenjatakan pisau panjang kira-kira enam inci masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.
Jelasnya, kedua-dua mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan berada dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian itu, pihaknya melakukan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan enam lelaki berusia 23 hingga 28 tahun pada pukul 8 malam pada hari sama bagi membantu siasatan.
"Polis turut merampas sebilah parang disyaki digunakan suspek dalam insiden itu.
"Tiada barang mangsa yang hilang. Punca dan motif kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya.
Tambahnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan narkotik lampau.
Kesemua suspek juga ditahan reman selama tiga hari sehingga Rabu bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, kes disiasat mengikut Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Tambahnya, suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam kes itu dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek lain yang terlibat serta motif kejadian.
Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pusat kawalan daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.
Kejadian itu berjaya dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan dan kemudiannya tular di media sosial pada Isnin.
Dalam video sama, mangsa dilihat sempat melarikan diri hingga ke luar rumah sebelum dikejar oleh beberapa suspek.
Lebih mengejutkan lagi, beberapa suspek terus mengayun senjata tajam dipercayai pedang samurai ke arah mangsa.
Mereka kemudiannya terus melarikan diri dari tempat kejadian.
Difahamkan, dendam dipercayai punca utama kejadian, namun ia masih dalam siasatan pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram