Hari santai bertukar tragedi, ibu panik tangan anak tertusuk serpihan ‘fiber glass’ lepas pegang besi di Lumut


  • Tular
  • Isnin, 27 Jan 2025

Insiden yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan selepas memegang pemegang besi di Lumut, Perak baru-baru ini. — Facebook

PASANGAN suami isteri berdepan detik-detik cemas ketika sedang meluangkan masa bersama anak-anaknya di Lumut, Perak baru-baru ini.

Menerusi perkongsian pengguna akaun Facebook Fazilah Rahman pada Ahad, niatnya berkunjung ke tempat tersebut untuk membawa anak-anak menikmati suasana sambil bermain basikal.

Namun, kejadian tidak dijangka berlaku apabila anak perempuannya yang dikenali sebagai Hani mengadu sakit pada kedua-dua tangan selepas menyentuh pemegang besi di lokasi itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Tulisan 'help', 'trafico' dikesan dalam peta Google di LA undang tanda tanya

BACA LAGI: Lumpuh bukan halangan, perjuangan remaja di Syria tuntut ilmu jadi pembakar semangat komuniti OKU

474998462_1035184638651054_7205505373935468286_n

Serpihan serat kaca di pemegang besi di Lumut, Perak. — Facebook

Katanya, Hani mula menunjukkan tanda-tanda tidak selesa dengan mengatakan tangannya sakit apabila disentuh.

Lebih membimbangkan apabila anak kecilnya itu terus mengadu meskipun tiada kesan luka pada kulitnya.

"Mula-mula buat tak tahu sahaja. Tetapi, dia asyik cakap sakit, bila tanya sakit ke gatal? Dia cakap sakit, tetapi dia tunjuk seluruh tangan macam gatal-gatal.

"Bila sentuh tangan, dia kata sakit, dua tangan pula. Pergi tengok besi itu semula, rupa-rupanya fiber.

"Serpihan fiber glass atau serat kaca halus dah masuk dalam tangan, patutlah dia cakap sakit," tulisnya.

Fiber glass adalah bahan komposit yang terbuat daripada serat kaca dan resin plastik dan ia sering digunakan dalam industri pembinaan disebabkan kekuatan dan ketahanannya yang tinggi.

Berikutan kejadian itu, Fazilah mencari cara untuk mengeluarkan serpihan fiber glass tersebut dan merawat anaknya.

Dia juga mengambil langkah untuk membersihkan dan menggunakan pita pelekat untuk menarik keluar serpihan halus itu sebelum menyapu minyak gamat bagi membantu menyembuhkan luka pada tangan anak kecilnya.

"Syukur, dia cakap dah lega sedikit," katanya.

Fazilah pada masa sama mengingatkan orang ramai yang berkunjung ke Lumut terutama bersama anak kecil agar lebih berhati-hati dengan pemegang besi.

Rata-rata warga maya bagaimanapun menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu untuk membuat penyelenggaraan berkala dan bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian seperti itu.

"Majlis Perbandaran Manjung (MPM) perlu ambil tanggungjawab, buat laporan secara resmi supaya tindakan boleh diambil," saran Kushairi Safi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram