Meraung telefon ayah sebab gagal, gadis 19 tahun bangkit demi genggam lesen memandu


  • Massa
  • Ahad, 26 Jan 2025

Alyson yang berjaya mendapatkan lesen memandu selepas dua kali ujian.

MENDAPATKAN lesen memandu merupakan satu pencapaian besar bagi sesetengah individu.

Begitu juga dengan seorang gadis, Alyson, 19, yang berasal dari Kuala Lumpur.

Ia mungkin dilihat mudah, namun bagi Alyson, perjalanannya untuk memperoleh lesen memandu penuh dengan cabaran.

BACA LAGI: [VIDEO] Jadi kawan kepada anak resipi ibu tunggal besarkan zuriat elak kenangan pahit bercerai belenggu diri

BACA LAGI: Suasana suram bertukar ceria, aktiviti santai di hospital pulih emosi pesakit, perkukuh hubungan komuniti

Menurutnya, memilih sekolah memandu yang sama dengan tempat bapanya berkemungkinan dapat memudahkan urusan mendapatkan lesen.

Malangnya, ia tidak semudah yang disangka.

“Saya tak sedar bahawa setiap orang memiliki pengalaman berbeza,

“Sebelum memulakan sesi praktikal, saya mengikuti kelas teori selama lima jam yang meliputi pelbagai topik termasuk isyarat trafik, papan tanda jalan serta enam elemen utama yang perlu dipraktikkan.

“Bagi saya, masa yang paling dinanti-nantikan semua orang adalah apabila dapat pegang stereng kereta dan merasai pengalaman memandu,” katanya.

WhatsApp Image 2025-01-25 at 13.30.24

Setiap individu pastinya mempunyai perjalanan dan pengalaman berbeza untuk memperoleh lesen memandu.

Meskipun pernah mendengar pelbagai kisah tentang kerenah tenaga pengajar yang tidak mesra, Alyson bersyukur diajar oleh guru memandu yang sangat baik dan penyabar.

Namun, ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Alyson terpaksa menelan kenyataan yang pahit ketika mahu menjalani ujian memandu.

Memandu buat pertama kalinya terasa agak luar biasa buat remaja itu.

“Saya rasa sudah cukup bersedia untuk ujian sebenar, tetapi ia tidak semudah itu.

“Selepas terpaksa menunggu selama enam bulan untuk mengambil ujian, saya masih belum berhasil mendapatkan lesen.

“Disebabkan terlalu cemas, saya tidak sengaja keluar dari laluan semasa lakukan pusingan U dan terlepas memberi isyarat ketika menukar lorong sehingga menyebabkan saya gagal,” jelasnya.

Kekecewaannya saat itu tidak dapat digambarkan apabila diarah untuk keluar dari kereta.

“Saya ingat lagi, saya hubungi ayah sambil menangis kerana sangat kecewa.

“Tetapi, kata-kata semangat dari ayah memberikan sedikit kelegaan dan dia memberitahu saya bahawa ini bukanlah penamat segalanya,” kongsinya.

WhatsApp Image 2025-01-25 at 13.31.43

Ujian memandu yang memberi debaran terhadap Alyson.

Berazam untuk tidak menunggu lama untuk mengulang semula, Alyson segera mencari sekolah memandu lain yang membenarkannya untuk mengambil ujian tanpa perlu mengambil ujian teori.

Sekali lagi, Alyson nekad memulakan latihan praktikal bagi membiasakan diri dengan laluan ujian sekolah baharunya.

“Bukan itu sahaja, setiap hari selepas kuliah, saya meminta ayah untuk duduk di sebelah semasa saya memandu perlahan-lahan di sekitar kawasan perumahan.

“Walaupun dia tegas dan sangat teliti, latihan harian bersama ayah ternyata memberi kesan yang positif terhadap kemahiran pemanduan saya,” katanya lagi.

Berkat sabar dengan cabaran itu, Alyson akhirnya lebih tenang dan dapat menghadapi ujian memandu dengan jayanya.

Segala kesilapan yang dilakukan pada ujian pertamanya sentiasa dipastikan dapat dielakkan.

Stereng kereta pula terasa lebih selesa di tangannya.

Pun begitu, Alyson percaya bahawa realiti pemanduan sebenar mempunyai pelbagai cabaran lagi.

Pengalaman itu secara tidak langsung mengajarnya bahawa perjalanan untuk mendapatkan lesen memandu bukan sekadar lulus ujian, tetapi soal ketabahan dan kecekalan untuk terus berusaha walaupun menghadapi kegagalan dalam hidup. — The Star/ALYSON WONG YAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram