DI tengah-tengah kesibukan hidup, hospital sering kali menjadi tempat yang penuh dengan ketidakpastian dan kebimbangan.
Namun, Columbia Asia Setapak, Kuala Lumpur mengambil langkah efektif untuk mengubah pengalaman pesakit melalui pelbagai program dan aktiviti yang bukan hanya dari segi rawatan fizikal, tetapi juga sokongan mental dan emosi.
Aktiviti seperti bengkel seni dan peralatan kesihatan serta pemberian makanan percuma secara tidak langsung mewujudkan suasana ceria di ruangan hospital.
BACA LAGI: Lumpuh bukan halangan, perjuangan remaja di Syria tuntut ilmu jadi pembakar semangat komuniti OKU
Aktiviti santai yang dilakukan di hospital mampu mewujudkan suasana ceria terutama buat kanak-kanak.
Azmi Mahmud, 55, pesakit yang sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan kerana keracunan makanan berkesempatan berkongsi pandangannya.
Kata Azmi, aktiviti sedemikian sememangnya bermanfaat bukan sahaja pesakit, tetapi buat ahli keluarga atau pelawat yang datang.
"Biasanya kalau datang hospital akan rasa suram, tetapi bila adanya aktiviti santai sekurang-kurangnya tak ada rasa terkurung.
"Jadi minda pun terbuka dan lupa sekejap rasa sakit. Nak berjalan pun rasa seronok sebab boleh buat aktiviti seperti kraf dan tanaman kecil," katanya kepada Majoriti.
Katanya, aktiviti seperti bengkel menghasilkan perhiasan rumah atau tanaman hiasan memberi peluang kepada pesakit untuk berinteraksi serta melupakan kesakitan buat sementara waktu.
Aktivis cilik, Thanashree Ambikai Lal (tengah) turut serta memeriahkan suasana sambil menyampaikan mesej penting tentang pesakit kanser.
Azmi juga mengungkapkan rasa syukur terhadap fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital.
Baginya, aktiviti tersebut juga wajar diperluaskan di tempat kerja terutamanya pejabat korporat bagi memberi ruang untuk para pekerja menghilangkan lelah atau tekanan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Columbia Asia Setapak, Norakmarul-Laili Nahrawi berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada kesejahteraan komuniti melalui pelbagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Norakmarul menjelaskan bahawa hospital tidak hanya memberi fokus kepada rawatan pesakit, tetapi juga kepada pembangunan komuniti melalui pelbagai program.
"Kami sentiasa mengadakan aktiviti untuk warga setempat seperti memberi sumbangan kepada mangsa banjir dan mengadakan program berbuka puasa bersama orang-orang yang memerlukan," katanya ketika program 'Back To School' sempena sambutan ulang tahun Columbia Asia Setapak ke-13.
Program tersebut dilaksanakan berserta sambutan ulang tahun ke-13.
Bagi pengurusan, pihaknya juga memahami kepentingan dalam menjaga kesejahteraan mental pesakit sepanjang proses pemulihan.
"Apa yang kita nampak bila kita buat aktiviti-aktiviti begini, pesakit akan sentiasa cari kami untuk lakukan aktiviti bersama-sama.
"Untuk menarik perhatian pengunjung ataupun pesakit, kita juga akan cuba libatkan setiap aktiviti dengan ibu bapa dan anak-anak mereka.
"Kami mahu semua orang, bukan sahaja pesakit rasa lebih ceria dan terlibat dalam aktiviti yang membawa kebaikan," jelasnya.
Dengan pendekatan holistik itu, beliau membuktikan bahawa hospital bukan sahaja tempat untuk merawat, tetapi juga menyemai harapan, memberi sokongan emosi serta memperkukuh hubungan dengan komuniti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram